FAYADH (kiri) mendengar arahan Aidil pada aksi final Sabtu lalu. FOTO Mohd Yusni Ariffin
FAYADH (kiri) mendengar arahan Aidil pada aksi final Sabtu lalu. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


AKSI bertenaga dan bersahaja bintang muda Kedah, Fayadh Zulkifli Amin pada final Piala FA, Sabtu lalu diharap dapat membuka ruang untuknya di dalam skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan bersaing pada temasya Sukan SEA Filipina, November ini.

Fayadh, 21, yang dianggap ‘jelmaan’ bekas pemain skuad Lang Merah, Akhyar Rashid adalah antara pemain muda yang berjaya menarik perhatian pemerhati dan peminat bola sepak tempatan menerusi kelincahan dan skil individu menarik.

Jelasnya, kejayaan membantu pasukan menundukkan Perak 1-0 di final Piala FA itu dapat dijadikan batu loncatan buatnya untuk terus mencipta nama sekali gus beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Saya harap dengan permainan saya ini (final Piala FA) boleh pergi jauh dan harap kalau ada rezeki saya dapat main untuk Malaysia.

“Selepas ini kalau jurulatih (Datuk) Ong (Kim Swee) nak panggil, terpulanglah... saya akan ikut rezeki yang saya dapat,” katanya kepada Arena Metro.

Pada aksi final Piala FA, kemasukan Fayadh pada babak kedua banyak mengubah corak permainan anak buah Aidil Sharin Sahak apabila aksi lincahnya membolehkan dia mudah melepasi dua atau tiga pertahanan Perak sekali gus mengkucar-kacirkan benteng lawan.

Katanya lagi, walaupun ramai yang menyamakan dirinya dengan Akhyar, namun Fayadh lebih selesa dikenali dengan gayanya sendiri.

“Saya rasa mungkin betul apa yang orang kata (sama dengan Akhyar) tapi saya dengan diri saya. Saya akan usaha atas diri sendiri,” katanya yang merekodkan jaringan pertama dalam saingan Liga Super ketika menentang PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:01 AM