SKUAD Kedah giat menjalani latihan. FOTO/AMRAN HAMID
SKUAD Kedah giat menjalani latihan. FOTO/AMRAN HAMID
Firdaus Hashim


PENYERANG import Kedah, Fernando Rodriguez berhasrat menghadiahkan trofi Piala FA kepada seluruh penyokong Lang Merah apabila turun beraksi menentang Perak pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketika ditemui pada sesi latihan di sini semalam, bekas penyerang kelab Sevilla di saingan La Liga Sepanyol itu tampak bersemangat menjalani latihan dan yakin dapat merobek gawang skuad The Bos Gaurus di Bukit Jalil kelak.

“Selepas bersama pasukan dari awal musim keyakinan saya semakin memuncak dan saya mahu meledak banyak gol untuk pasukan selepas ini.

“Saya juga semakin selesa dengan rakan sepasukan dan mereka banyak membantu saya menyesuaikan diri sepanjang tempoh ini dan aksi final adalah saat yang penting bagi saya dan pasukan,” katanya yang merekodkan sembilan gol dalam aksi Liga Super musim ini.

Ketajaman ayam tambatan berusia 32 tahun itu tidak boleh disangkal terutama ketika beraksi di Liga Filipina dan Indonesia sebelum ini.

Ketika bersama juara Liga Filipina, Ceres Negros FC pada 2017, dia meledak 26 gol dalam 32 penampilan sepanjang musim sebelum berpindah ke Mitra Kukar dengan menyumbat 15 pada musim lalu.

“Sebagai penyerang, tugas utama adalah menjaringkan gol dan keupayaan saya akan diukur daripada jumlah jaringan yang dapat dihasilkan.

“Jika diturunkan lagi (di pentas final), saya akan berusaha untuk menambah bilangan gol dalam perlawanan dan akan beri 100 peratus untuk memastikan piala dapat dibawa pulang,” katanya.

Mengulas mengenai pasukan Perak, dia mengakui benteng pertahanan skuad Mehmet Durakovic agak sukar untuk ditembusi, namun percaya ia bukan sesuatu yang mustahil seperti mana dilakukan ketika menewaskan Perak 4-2 dalam aksi Liga Super 13 Julai lalu.

Pada perlawanan itu, dia turut meledak dua gol dalam aksi di Stadium Darul Aman itu.

“Pertahanan Perak sangat baik dan kuat tapi aksi ini aksi yang lain bukan seperti liga. Masing-masing ada peluang dan kami akan cuba dapatkan gol pada aksi itu,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) berharap skuad Lang Merah dapat muncul juara Piala FA musim ini, sekali gus layak beraksi di Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:10 AM