PEMAIN JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kanan) mahu teruskan rentak kecemerlangan.
PEMAIN JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kanan) mahu teruskan rentak kecemerlangan.
Muhammad Apendy Issahak


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) belum puas hati dengan gelaran selaku juara Liga Super enam kali berturut-turut dan bertekad meneruskan kecemerlangan serta mengekalkan mentaliti kemenangan.

Pengurus pasukan, Luciano Figueroa berkata, pemain dan pengurusan sedar mereka perlu memberikan komitmen lebih 100 peratus dalam setiap perlawanan diharungi.

“JDT ada arah tuju dan gaya permainan tersendiri yang perlu kami kekalkan kerana inilah gaya kami sejak 2013. Kami perlu teruskan dan berkerja lebih keras untuk kekalkan mentaliti kemenangan ini.

“Pasti ada pasukan yang akan memberikan cabaran dan kami perlu sentiasa bersedia untuk itu,” katanya dalam sidang media selepas menentang Perak di Stadium Perak, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah tewas 0-3 hasil dua jaringan Leandro Velazquez dan Akhyar Rashid.

Figueroa berkata, pihaknya tidak mahu memikirkan soal pasukan lain dan hanya fokus kepada hala tuju sendiri.

“Kami adalah kelab yang besar dan kami bertuah dapat berada dalam kelab ini. Jadi kami harus teruskan prestasi baik dan mengharungi cabaran setiap perlawanan sebaik mungkin walaupun kami sudah menjuarai liga musim ini.

“Tiada perlawanan yang mudah. Semuanya ada cabaran tersendiri dan kami perlu bersedia untuk setiap perlawanan. Walaupun sukar kami akan sentiasa berusaha untuk menang,” katanya.

Sementara itu, Perak akan cuba sebaik mungkin untuk baki perlawanan liga musim ini walaupun menghadapi kesukaran susulan ketiadaan beberapa pemain yang cedera.

Skuad The Bos Gaurus bakal menghadapi perlawanan akhir Piala FA, 27 Julai ini dan masalah kecederaan nyata memberi tekanan kepada pemain srrta jurulatih, Mehmet Durakovic.

Durakovic berkata, mereka bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan soal perlawanan akhir itu, sebaliknya akan menghadapi satu demi satu perlawanan.

“Kami tiada pasukan yang besar, jadi kami perlu pastikan semua pemain bersedia bagi setiap perlawanan. Apabila tiba masanya, kami akan fikirkan dan hadapinya (perlawanan akhir Piala FA) dan lakukan yang terbaik untuk perlawanan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:06 AM