Subba (kiri) bersama Ann (tengah) bangga dengan dedikasi serta sumbangan Chong Wei terhadap badminton. FOTO fail NSTP/One Championship
Subba (kiri) bersama Ann (tengah) bangga dengan dedikasi serta sumbangan Chong Wei terhadap badminton. FOTO fail NSTP/One Championship
Meor Riduwan Meor Ahmad


BERITA persaraan rasmi Datuk Lee Chong Wei yang menggemparkan arena badminton tempatan dan dunia semalam turut mendapat perhatian beberapa atlet seni bela diri campuran (MMA) negara.

Ikon MMA, Ann Osman, menyifatkan pencapaian Chong Wei adalah suatu yang amat istimewa kerana meninggalkan kesan positif kepada sukan negara khususnya dalam sukan badminton.

"Terima kasih Datuk Chong Wei atas segala pencapaian hebat yang anda capai selama ini.

"Saya masih ingat ketika kami sekeluarga menonton satu daripada perlawanan beliau dengan Lin Dan, aksi dipamerkannya membuatkan kami berasa amat bangga.

"Dedikasi dan sumbangan beliau kepada sukan badminton amat luar biasa," kata atlet kelahiran Sabah berusia 32 tahun itu.

Menurut Ann lagi, biarpun nama Chong Wei cukup gah di persada badminton dunia, jaguh berasal dari Pulau Pinang itu seorang atlet yang amat merendah diri yang pernah ditemuinya.

"Saya berasa amat bertuah dapat bertemu dengan Chong Wei. Beliau seorang yang baik dan merendah diri.

"Walaupun kita akan merindui aksinya selepas ini, saya mendoakan yang terbaik untuk beliau.

Semoga beliau cepat sembuh dan menikmati waktu persaraannya," katanya dalam menerusi kenyataan dikeluarkan ONE Championship, hari ini.

Pada sidang media penuh emosi di Kementerian Belia dan Sukan, Chong Wei secara rasmi mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun berbakti untuk negara dalam arena badminton.

Sementara itu, atlet ONE Championship kategori 'featherweight', Keanu Subba,24, berkata, Chong Wei layak diiktiraf legenda sukan badminton negara.

Katanya, kesungguhan dipamerkan Chong Wei dalam badminton sentiasa tersemat di mindanya.

"Beliau sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dengan menjalani latihan demi latihan sehingga menjadi yang terbaik di dunia.

Beliau mengajar saya erti ketabahan dan tidak berputus asa walaupun pernah tewas beberapa kali.

"Sumbangannya kepada sukan Malaysia cukup banyak. Setiap kali saya mengetahui beliau bertanding, saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya aksinya," katanya.

Bagi Mohammed Mahmoud atau dikenali sebagai 'Jordan Boy', kecemerlangan Chong Wei dalam sukan badminton berjaya menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di negara ini. "Setiap kali beliau bertanding, rakyat tanpa mengira bangsa atau agama akan menyokongnya.

"Suatu yang istimewa menyaksikan bagaimana seorang dapat membawa perpaduan rakyat melalui sukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 4:45 PM