STUART mahu mangsa beri kerjasama supaya tindakan terhadap individu terbabit boleh diambil.
STUART mahu mangsa beri kerjasama supaya tindakan terhadap individu terbabit boleh diambil.
Syazwan Msar


WALAUPUN pelbagai saluran digunakan bagi memujuk dan mengingatkan pemain supaya tampil ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendedahkan individu bertanggungjawab menyebabkan gaji mereka tertunggak, namun sehingga kini tiada seorang pun tampil berbuat demikian.

Malah, pemain yang menerima nasib terbabit lebih memilih bersikap ‘pentingkan diri’ apabila mengambil pendekatan membisu atau tidak mahu mendedahkan identiti individu berkenaan.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam yang memaklumkan pemain yang mengalami gaji tertunggak terutama daripada pasukan Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC hanya lebih utamakan mahu tuntutan mereka dipenuhi daripada bekerjasama mendedahkan individu terbabit.

Beliau berkata, FAM sudah mengenal pasti individu berkenaan yang membuat ‘kacau’ dalam industri bola sepak negara hingga puluhan pemain mengalami tunggakan gaji dengan nilai jutaan ringgit.

“Saya pun sedia maklum individu berkenaan masih lagi terbabit dalam industri bola sepak negara dengan memimpin pasukan tertentu. Bekas pemain yang melalui pengalaman perit itu sepatutnya tampil mendedahkan identiti individu berkenaan bagi menyelamatkan pemain lain supaya tidak menjadi mangsa,” katanya, ketika dihubungi, Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan 21 pemain TCFC menerima perkhabaran gembira apabila Jawatankuasa Status FAM menuntut kelab itu supaya melunaskan tunggakan gaji keseluruhan berjumlah RM411,900.

Menerusi mesyuarat jawatankuasa berkenaan ke-11 pada Khamis lalu menyaksikan TCFC didapati bersalah kerana gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain musim lalu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Joehari Ayub, TCFC yang juga juara Piala FAM musim lalu diberi tempoh sebulan dari tarikh penerimaan keputusan minggu lalu untuk menyelesaikan segala tuntutan.

Selain itu, Stuart berkata, FAM akan membantu pemain yang membuat aduan mengenai individu berkenaan untuk tindakan seterusnya termasuk berkaitan undang-undang.

“Sekarang ini apa yang boleh saya katakan agak sukar pemain terbabit mahu mendapatkan tunggakan gaji mereka memandangkan pasukan berkenaan sudah lesap. Jadinya, lebih baik pemain bekerjasama dengan FAM untuk mengambil tindakan susulan terhadap individu berkenaan yang sekarang ini masih lagi bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:15 AM