MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI
AFP

PENGENDALI Chelsea Maurizio Sarri memberitahu kelab itu beliau akan meninggalkan mereka selepas semusim untuk menyertai skuad juara Itali Juventus, menurut laporan hari ini.

Sarri dikatakan tidak sehaluan dengan penyokong di Stamford Bridge dan biarpun menjuarai Liga Europa minggu ini dan menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, wujud pandangan bahawa jurulatih itu enggan mengubah taktik apabila keadaan tidak menjadi.

Sarri dikaitkan dengan Juventus yang kini mencari pengganti Massimiliano Allegri, biarpun akhbar harian sukan Gazzetta melaporkan hari ini bahawa pengurus Tottenham Mauricio Pochettino turut berada dalam radar mereka.

Sarri mengadakan perbincangan dengan pengarah Chelsea Marina Granovskaia semalam dan memberitahunya beliau mahu kembali ke kampung halamannya, menurut laporan di Britain dan Itali.

Difahamkan Marina sudah berjanji untuk bercakap dengan pemilik kelab Roman Abramovich berhubung masa depannya, namun nampaknya Chelsea sedia menerima penggantinya.

Sarri menggantikan Antonio Conte sebagai pengendali Chelsea musim panas lalu selepas tiga tahun di Napoli.

Pengendali berusia 60 tahun itu bermula cemerlang di Stamford Bridge apabila Chelsea kekal tanpa kalah dalam 18 perlawanan.

Namun Sarri terus menerus berdepan kritikan daripada kelompok tertentu penyokong kelab itu sepanjang musim dan mengalami kekalahan teruk 0-4 dan 0-6 masing-masing kepada Bournemouth dan Manchester City.

Chelsea, bagaimanapun mara ke final Piala Carabao di mana mereka tewas menerusi penalti kepada Manchester City, sebelum menamatkan kempen musim ini dengan baik.

Sarri menjulang trofi utama dalam karirenya apabila Chelsea menewaskan Arsenal 4-1 di Baku Khamis lalu untuk menjuarai Liga Europa namun enggan mengesahkan masa depannya di kelab itu.

“Anda tahu yang saya sukana Liga Perdana, tahap saingan dan saya bernasib baik kerana berada di Chelsea, salah satu pasukan terbaik dan kejohanan terbaik di dunia.

“Jadi buat masa ini saya gembira, tetapi sudah tentu saya ingin tahu jika kelab ini gembira, jika kami boleh memperbaikinya.

“Saya fikir ia sesuatu yang normal, saya mempunyai perbincangan dengan pemilik selepas setiap musim dengan setiap kelab.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:04 PM