CONTE kecewa prestasi pemainnya. FOTO Agensi
CONTE kecewa prestasi pemainnya. FOTO Agensi
AFP

INTER Milan hanya mampu seri tanpa jaringan ketika menentang Fiorentina awal pagi tadi sekali gus memudahkan misi Juventus meraih gelaran Serie A kesembilan berturut-turut. .

Juve kini enam mata di depan pasukan di tangga kedua, Atalanta dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melengkapkan 'Scudetto' ke-36 dengan Udinese menjadi halangan terakhir awal pagi esok.

Skuad Antonio Conte, Inter di tangga ketiga, satu mata di belakang Atalanta dengan baki tiga perlawanan lebih mendominasi aksi di San Siro.

"Tangga kedua untuk mereka yang tewas," kata Conte yang membawa Juventus muncul juara Serie A tiga kali dan kemudiannya menjuarai Liga Perdana dan Piala FA bersama Chelsea.

"Saya faham ada yang puas hati dengan keputusan ini tetapi bagi saya ia tidak bermakna. Apabila anda keciciran mata, ia bermakna terdapat kelemahan."

Tempat Inter ke Liga Juara-Juara musim depan sudah pun terjamin tetapi mereka mungkin menamatkan kedudukan di tangga keempat dengan Lazio empat mata di belakang menentang pasukan di tangga ke-13, Cagliari pagi esok.

Roma pula melonjak ke tangga kelima selepas membelasah SPAL 6-1 dan memintas AC Milan yang menewaskan Sassuolo kelmarin namun kedua-duanya telah pun memastikan slot Liga Europa musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 10:08 AM