FOKUS perlawanan menentang Sri Lanka pada 4 Mei ini
FOKUS perlawanan menentang Sri Lanka pada 4 Mei ini
Meor Riduwan Meor Ahmad

KAPTEN skuad Ragbi 15 sepasukan kebangsaan, K Dineshvaran mengingatkan rakan sepasukan tidak memandang mudah sebaliknya fokus terhadap perlawanan menentang Sri Lanka pada 4 Mei ini.

Kembali menyarung jersi negara selepas disisihkan tahun lalu akibat kecederaan, pemain berasal dari Sungai Petani itu menegaskan perlawanan itu bukan sekadar perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Sri Lanka berada di kedudukan lebih tinggi daripada Malaysia. Pastinya mereka tidak mahu kalah dengan kita dan akan memberikan tentangan sengit.

“Bagi saya skuad negara akan lebih fokus dan tidak ambil mudah walaupun kita pernah menang beberapa kali ke atas Sri Lanka sebelum ini termasuk pada 2017. Malah saya sendiri tidak sabar untuk menentang mereka,” katanya dihubungi hari ini.

Dineshvaran atau mesra disapa ‘Dugro’ dalam kalangan rakan sepasukan berkata, skuad negara kini berada di tahap terbaik hasil latihan rapi untuk perlawanan itu yang juga persediaan untuk bersaing dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019.

“Saya rasa ini kali pertama skuad negara buat persediaan begitu rapi dan setiap hari pemainan kami makin baik dan pemain fokus kepada latihan diberikan jurulatih.

“Bagi saya sendiri, ini kali pertama akan bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil dan ia seperti mimpi jadi kenyataan,” katanya menjalani latihan selama 10 hari bersama skuad kebangsaan di Eagles Rugby Club, Sandakan yang berakhir kelmarin.

DINESHVARAN
DINESHVARAN

Dia yang juga bekas pemain kelab Yamaha Jubilo di Liga Ragbi Profesional Jepun kini menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Hino Red Dolphins.

Sementara itu, pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad berkata, pasukan ragbi Sri Lanka antara pasukan terkuat di rantau Asia.

“Kita tidak tahu bagaimana persiapan Sri Lanka, cuma dimaklumkan mereka baru bentuk pasukan. Tidak pasti ia strategi mereka atau apa.

“Ada sedikit masalah susulan kes pengeboman di Sri Lanka baru-baru ini dan mereka hampir batalkan penyertaan.

“Yang penting pasukan negara tidak boleh pandang mudah kerana kualiti pemain mereka baik hasil pembangunan sukan ragbi di sana,” katanya.

Beliau berkata, 11 daripada 35 pemain yang mengikuti kem latihan di Sabah akan diturunkan menentang Sri Lanka sebelum senarai akhir 28 pemain skuad yang diberi jolokan ‘Bunga Raya’ itu diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:48 PM