BIBI pening memikirkan nasib Kelantan dalam Liga Perdana. — FOTO Fail
BIBI pening memikirkan nasib Kelantan dalam Liga Perdana. — FOTO Fail
BERNAMA

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) menyifatkan sekatan membeli pemain import yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan negeri itu membebankan lagi masalah mereka bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, MFL seharusnya bersikap adil berhubung hukuman itu, yang akan memberikan kesan kepada persatuan dan pasukan.

“Sebelum ini kami (KAFA) sudah setuju bayar tuntutan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales melalui pemotongan geran dan kenapa masih lagi mahu sekat kami mendapatkan pemain import.

“Kami tak tahu apa kesalahan baru menyebabkan didenda, sudah banyak kami dikenakan antara hukuman sekat lesen, sekat geran dan pemotongan mata, selepas ini berapa banyak hukuman lagi kami tak tahu,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, MFL mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 susulan kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.

Pada masa sama, lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Bibi berkata, denda dan hukuman itu seolah-olah mahukan KAFA terkeluar daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kami persatuan (ahli gabungan) ibarat anak-anak yang bergelut dengan pelbagai masalah dan tekanan mengadu kepada bapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk ihsan, tapi usahkan simpati yang dapat, malah tendang terajang daripada bapa yang dapat.

“Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) kami, siapa lagi yang akan jaga kami untuk kelancaran bola sepak negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:23 AM