Aksi pemain tengah Liverpool James Milner (kanan) berdepan pemain Porto dalam Liga Juara-Juara Khamis lalu. FOTO AFP.
Aksi pemain tengah Liverpool James Milner (kanan) berdepan pemain Porto dalam Liga Juara-Juara Khamis lalu. FOTO AFP.
AFP

Liverpool dan Tottenham Hotspur diberi ‘rehat tambahan’ oleh pengelola Liga Perdana sebagai persediaan mengharungi pertembungan timbal balik kedua Liga Juara-Juara, bulan depan.

Liverpool akan menanti kunjungan Barcelona bagi perlawanan kedua pada 8 Mei pada asalnya dijadual bertemu Newcastle pada 5 Mei tetapi ia dipercepatkan sehari kepada 4 Mei.

Sementara Spurs yang perlawanan kedua Liga Juara-Juara adalah di gelanggang Ajax pada 9 Mei akan bertemu Bournemouth pada 4 Mei dengan jadual asal ialah 6 Mei (Isnin).

Manchester City yang bersaing sengit dengan Liverpool bagi gelaran Liga Perdana turut mendapat manfaat apabila perlawanan menentang Leicester diubah kepada 6 Mei selepas mereka disingkirkan Spurs dalam saingan Liga Juara-Juara pada Khamis lalu.

Perubahan dilakukan Liga Perdana tidak begitu drastik berbanding Liga Belanda yang membatalkan program liga pada minggu sebelum Ajax bertemu Spurs pada aksi pertama Liga Juara-Juara 1 Mei ini.

Perlawanan membabitkan Chelsea dan Arsenal turut dipercepatkan sehari menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Europa menentang kelab Jerman, Eintracht Frankfurt dan Valencia.

Chelsea akan menentang Watford manakala Arsenal bertemu Brighton pada 5 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:59 PM