SITI Zalina ketika beraksi pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu. — FOTO Yazit Razali
SITI Zalina ketika beraksi pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu. — FOTO Yazit Razali
Azlan Muhammad Zain


JAGUH negara Siti Zalina Ahmad berpeluang melangkah ke final Kejohanan Boling Padang Piala Dunia di New South Wales, Australia.

Pemain berpengalaman itu akan berentap dengan juara bertahan Lucy Beere dari Guernsey pada separuh akhir esok.

Menurut jurulatih negara, Zuraidi Puteh, misi Siti Zalina adalah mengubah warna pingat kerana dua atlet yang tewas pada separuh akhir akan berkongsi gangsa pada kejohanan yang hanya mempertandingkan kategori perseorangan itu.

“Bagaimanapun saya lihat peluang 50-50 buat Siti Zalina melangkah ke final walaupun bertemu juara bertahan. Saya sudah rakam perlawanan lawannya yang terpaksa bermain play-off selepas gagal muncul juara Section 2.

“Jadi kami akan menilai dan mengkaji kelemahannya untuk digunakan sebagai kelebihan kepada Siti Zalina bagi aksi separuh akhir esok,” kata Zuraidi.

Lucy yang menamatkan saingan di kedudukan kedua Section 2 terpaksa beraksi pada peringkat play-off untuk ke separuh akhir dengan menewaskan naib juara Section 1, Carla Banks dari Scotland 10-9, 11-1.

Siti Zalina pernah muncul juara kejohanan itu pada edisi 2015 dengan memenangi semua perlawanannya.

Pada edisi kali ini, dia kalah dua perlawanan peringkat awal yang mempunyai sembilan peserta namun masih mampu bergelar juara Section 1 untuk layak ke separuh akhir secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:08 PM