FEDERER berpeluang tebus kekalahan kepada Tsitsipas di Dubai. — FOTO Reuters
FEDERER berpeluang tebus kekalahan kepada Tsitsipas di Dubai. — FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer boleh muncul hanya pemain lelaki kedua memenangi 100 kejuaraan karier jika dia berjaya pada final Kejuaraan Dubai awal pagi esok, namun pemain legenda Switzerland itu tidak memikirkan mengenai catatan itu.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu menewaskan pemain Croatia, Borna Coric 6-2, 6-2, menamatkannya dengan ace hanya selepas 67 minit pada separuh akhir awal pagi tadi.

Ia membolehkan pemain berusia 37 tahun itu layak ke final kali ke-10 di negara beraja itu dan ke-152 kariernya.

Jimmy Connors memegang rekod pemain lelaki dengan 109 kejuaraan sekalipun ia terlalu jauh berbanding koleksi 167 kejuaraan dimenangi Martina Navratilova bagi kategori wanita.

“Meraih 100 kejuaraan – kami masih jauh. Saya hanya mahu cuba fokus dan bermain dengan bagus,” ujar Federer.

Federer, juara tujuh kali di Dubai, pasti mahu membalas dendam terhadap lawannya pada final Stefanos Tsitsipas, yang menempah tiket dengan kemenangan 4-6, 7-6 (7/4), 7-6 (7/4) ke atas Gael Monfils.

Pemain Greece ranking ke-11 itu mengejutkan Federer pada pusingan keempat Terbuka Australia Januari lalu pada pertembungan tunggal mereka dalam jelajah.

Awal pagi tadi, Federer berjaya menebus dua kekalahan di tangan Coric musim lalu, yang mengalahkannya pada final Halle di gelanggang rumput dan pada separuh akhir Masters Shanghai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:28 AM