KAMARUL Ariffin (kiri) pada sidang media berkenaan pembayaran balik gaji pemain bola sepak PDRM di Wisma Sukan Pulapol. -Foto BERNAMA
KAMARUL Ariffin (kiri) pada sidang media berkenaan pembayaran balik gaji pemain bola sepak PDRM di Wisma Sukan Pulapol. -Foto BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Sengsara empat pegawai dan 12 pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim lalu akhirnya terlerai selepas pengurusan baharu yang mengambil alih sejak hujung 2018 berjaya mengumpul serta mencari dana sebanyak RM522,000 untuk melunaskan tunggakan gaji selama enam bulan.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar PDRM adalah institusi yang amat dihormati dan dalam hal yang menimpa bekas pemain pengurusan lama harus dipersalahkan bukan Persatuan Bolasepak PDRM.

“Terima kasih juga kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana berunding dengan pihak kami, kerana pemain berdepan dengan masalah tunggakan gaji enam bulan, ada yang berdepan masalah isteri hendak bersalin, tidak bayar duit kereta,” katanya dalam sidang media di Wisma Sukan PULAPOL, Jalan Semarak hari ini.

Jelasnya, sekarang mereka masih mempunyai tunggakan gaji untuk diselesaikan bernilai RM696,000 membabitkan empat empat import, seorang pegawai dan seorang pemain awam.

“Kami mengambil alih pasukan ini hujung tahun lalu dan mensasarkan untuk menyelesaikan lebihan gaji tertunggak (pemain import) dalam tempoh dua bulan.

“Bagi menyelesaikan gaji empat pegawai dan 12 pemain tempatan ini memang kami meletakkan sasaran sebulan hingga sebulan lebih. Memang perit untuk mencari duit.

“Bagi saingan musim ini kami tidak berdepan sebarang masalah pembayaran gaji untuk dua bulan pertama, kerana mempunyai dana yang mencukupi. Anda boleh tanya sendiri dengan pemain saya berapa hari bulan gaji mereka dapat, belum kakitangan kerajaan dapat gaji, pemain sudah menikmati bayaran.

“Bajet tahun ini ialah RM150,000 sebulan persamaan dengan setahun RM1.5 juta, dengan penaja yang ada dan geran yang akan dikeluarkan saya rasa mencukupi, kami bukan hendak glamor,” katanya.

Kata Kamarul Ariffin, beliau sendiri rela dan menerima pasukannya berada di tangga terbawah Liga Perdana sekarang, asalkan tidak berhutang serta menggunakan pemain dari anggota PDRM.

“Kami ada penambahbaikan untuk aksi selepas ini dengan membawa masuk pemain dalam kalangan orang awam. Mereka sanggup bermain kerana PDRM walaupun gaji terlampau rendah. Kita juga akan melihat kemunculan Patrick Ronaldinho esok iaitu nama besar dalam bola sepak tempatan yang menyatakan minat serta mahu membuktikan sesuatu untuk musim ini,” katanya.

PDRM akan beraksi menentang Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) esok dalam usaha untuk mencari kemenangan sulung, selepas tiga perlawanan mereka hanya seri sekali dan kalah dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:46 PM