PEMAIN skuad negara gigih menjalani latihan menjelang aksi malam ini. — FOTO Firdaus Hashim
PEMAIN skuad negara gigih menjalani latihan menjelang aksi malam ini. — FOTO Firdaus Hashim
Firdaus Hashim dari Phnom Penh


“JANGAN ulangi kesilapan dan ambil iktibar daripada perlawanan terdahulu.”

Itu pesanan kapten skuad negara Dominic Tan yang akan berdepan Myanmar pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF B-22 di Stadium RSN, Phnom Penh malam ini.

Benteng skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dibolosi sebanyak tiga kali dalam dua aksi sebelum ini semuanya kerana gagal mengekalkan fokus hingga melepaskan gol mudah.

Gawang Malaysia bocor sekali ketika kalah di tangan Kemboja sambil Indonesia pula meledak dua gol dengan anak buah Kim Swee terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat lawan.

“Pertahanan kami sudah buat yang terbaik, jadi walaupun kami dibolosi tiga gol dalam dua perlawanan, banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki.

“Bagi saya, jurulatih akan terangkan segala kelemahan dan setakat ini, semua pemain memberikan komitmen terbaik,” kata tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Pada saingan Kumpulan B, Malaysia dan Myanmar akan beraksi di Stadium RSN manakala satu lagi perlawanan antara Indonesia dan Kemboja di Stadium Olimpik menyaksikan satu slot menjadi rebutan selepas tuan rumah mengesahkan tiket lebih awal ke separuh akhir.

Berdasarkan perkiraan matematik, skuad negara wajib menang sambil mengharapkan Indonesia tewas kepada tuan rumah.

Namun, jika Kemboja tumbang di tangan skuad Garuda Muda, impian Dominic dan rakan untuk meneruskan perjuangan musnah.

Malah, keputusan seri juga tidak cukup selepas sebelum ini hanya mengumpul satu mata dan berada di kedudukan ketiga di belakang Kemboja dan Indonesia, masing-masing mengutip enam dan dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 1:07 PM