BALE (kiri) berebut bola dengan pemain Atletico Madrid, Koke. - FOTO Agensi
BALE (kiri) berebut bola dengan pemain Atletico Madrid, Koke. - FOTO Agensi
AFP

GARETH Bale berdepan risiko digantung bagi aksi Clasico menentang Barcelona selepas dilaporkan ‘mengejek’ penyokong Atletico Madrid susulan golnya ketika Real Madrid menang 3-1 aksi musuh setempat hujung minggu lalu.

Bale meledak gol ketiga Real selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua aksi di Wanda Metropolitano, namun dia dituduh membuat provokasi berlebihan ketika meraikan jaringan sebagai tindak balas ejekan penyokong tuan rumah.

Dalam satu kenyataan, La Liga menyatakan Bale melakukan kesalahan yang bersifat kurang ajar di Sepanyol.

Jika pemain Wales itu didapati bersalah mengejek penyokong lawan, menurut peraturan Persekutuan Bolasepak Sepanyol dia berdepan risiko digantung antara empat hingga 12 perlawanan, namun penggantungan lebih pendek antara satu hingga tiga perlawanan dijangka.

Real berdepan Girona dan Levante bagi dua aksi La Liga berikutnya sebelum dua perlawanan berturut-turut menentang Barcelona di Santiago Bernabeu.

Dua pasukan itu bertemu pada separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol pada 27 Februari depan diikuti pertembungan liga pada 2 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 11:15 PM