SHAPAWI menegaskan tiada sukan akan dipinggirkan. FOTO/NSTP
SHAPAWI menegaskan tiada sukan akan dipinggirkan. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat 


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan program penstrukturan semula bukan benda baru dilaksanakan dan ia perkara biasa yang menjadi rutin tahunan badan induk sukan itu. 

Shapawi berkata, pemilihan atlet yang diserapkan kepada empat tahap iaitu tahap satu, dua, tiga dan empat berdasarkan merit prestasi. 

Katanya, tiada sukan yang akan dipinggirkan sekiranya atlet itu memang layak untuk diserapkan ke dalam program tahap satu. 

"Setiap atlet akan dapat apa yang mereka layak peroleh. Ia perkara biasa, malah setiap persatuan sukan juga tahu perkara ini. 

"Tiap-tiap tahun MSN akan lakukan penstrukturan semula untuk melihat di mana kedudukan atlet itu berada. 

"Jika mereka layak, mereka akan diserapkan ke tahap yang sepatutnya," katanya yang akan mengadakan mesyuarat jawatan kuasa kerja bagi membincangkan perkara berbangkit seterusnya memantapkan lagi program baru itu. 

Mengulas mengenai komen atlet skuasy negara, Nafiizwan Adnan yang tidak bersetuju dengan struktur baru program berkenaan, Shapawi menegaskan atlet seharusnya tahu di mana mereka berada. 

Mengambil contoh atlet bowling yang berjaya sehingga bergelar juara dunia Shapawi berkata, mereka akan layak menerima yang sepatutnya. 

Sementara itu, Shapawi mengegaskan pemilihan sudah diselaraskan dan satu jawatankuasa kerja akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memantapkan progrma yang akan dirancang. 

"Pemilihan atlet dan jurulatih sudah dikenal pasti menerusi pemilihan bersama persatuan dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Bagaimanapun masa ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan antaranya mengenal pasti jurulatih baru untuk program latihan yang kita pilih," katanya. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:59 PM