Arul akui TNB mampu beri cabaran. FOTO NSTP
Arul akui TNB mampu beri cabaran. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketika tumpuan lebih terarah kepada UniKL dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk merebut kejuaraan Liga Premier dan Piala TNB pada musim baru Liga Hoki Malaysia, kemampuan TNB juga tidak harus dipandang mudah.

Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj yang berasakan TNB mampu memberi cabaran sengit pada musim baru nanti selepas diperkuatkan dengan 10 pemain kebangsaan.

"Di atas kertas orang sering memperkatakan kami pasukan pilihan.

"Tetapi pada pandangan saya kita tidak boleh ambil mudah dengan TNB. Mungkin mereka nampak tidak kuat kerana tidak menggunakan pemain import.

"Tetapi mereka mempunyai 10 pemain kebangsaan dan dengan S Kumar sebagai penjaga gol, saya fikir mereka cukup lengkap pada kali ini," katanya.

Antara barisan pemain kebangsaan yang menyarung jersi TNB adalah Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Norshafiq Sumantri, Muhammad Ramadan Rosli, Shahril Saabah serta Firhan Ashaari.

UniKL dijangka bakal membuat perhitungan dengan TNB pada aksi separuh akhir Piala P  Alagendra 4 Januari ini sekiranya mereka melepasi pusingan kalah mati bertemu TNB Thunderbolts sehari sebelum itu.

"Bagi saya TNB adalah pasukan pilihan untuk memenangi Piala P Alagendra. Kami memfokuskan saingan ini sebagai persiapan awal sebelum menghadapi saingan liga pada 11 Januari," kata Arul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:50 PM