BEKAS pemain Terengganu City FC, Shafuan Adli Shaari kecewa selepas tunggakan gajinya belum diterima. FOTO Ihsan Pemain
BEKAS pemain Terengganu City FC, Shafuan Adli Shaari kecewa selepas tunggakan gajinya belum diterima. FOTO Ihsan Pemain
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: “Kepada siapa lagi harus kami mengadu untuk mendapatkan hak kami atau kami juga bakal menerima nasib sama dengan pemain terdahulu yang sehingga sekarang masih belum mendapat tunggakan gaji,” kata bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) Shafuan Adli Shaari.

Bekas tonggak skuad The Sharks itu kecewa dengan pihak pengurusan skuad itu yang masih belum membayar tunggakan gaji mereka selepas beberapa kali berjanji untuk melunaskannya terutama selepas muncul juara Piala FAM musim ini.

“Kami sudah mengadu, hantar surat dan berjumpa pengurusan TCFC. Begitu juga dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), kerajaan negeri, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan juga terakhir kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Tapi setakat ini semuanya hampa walaupun sudah lama mengadu, tambah parah musim ini hampir ke hujungnya, sedangkan kami juga mahukan sumber kewangan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anak.

“Sejak Julai lalu sehingga kini, kami tidak mendapat satu sen pun tunggakan gaji daripada bekas majikan kami. Lebih membingungkan, pengurusan TCFC terus membisu dah tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi.

“Justeru kami tiada pilihan lain kecuali merayu FAM bertindak lebih tegas terhadap pengurusan TCFC selain meminta badan induk bola sepak negara itu membantu kami dengan menyalurkan wang kemenangan sebagai juara Piala FAM musim ini bagi meringankan beban terpaksa kami tanggung,” kata Shafuan kepada Sukan NSTP yang berharap sistem baharu yang bakal diperkenalkan FAM mampu mengatasi masalah berkenaan.

Nada sama juga diluahkan bekas pengendali TCFC, Roshadi Wahab yang juga bagaikan 'hilang arah' untuk mengadu kerana semua saluran sudah digunakan untuk menuntut hak tetapi semuanya hampa.

“Jika diikutkan hati memang begitu kecewa kerana sehingga sekarang masih belum dapat satu sen pun wang sejak mengadu tahun lalu, tetapi apa harus saya buat lagi, ia boleh diibaratkan menunggu buah tidak gugur.

“Bukan saya ingin mengganggu tugas FAM, tapi selepas berlalu tempoh 30 hari diberikan FAM kepada pihak pengurusan TCFC supaya gaji saya dibayar, sehingga sekarang saya belum dapat tunggakan gaji,” kata Roshadi yang mengharapkan FAM mengambil pendekatan lain bagi menangani isu tunggakan itu bagi mengelak jurulatih dan pemain terus dianiaya pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 7:00 PM