GOMEZ patah kaki kiri ketika Reds tewaskan Burnley. FOTO/AGENSI
GOMEZ patah kaki kiri ketika Reds tewaskan Burnley. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Liverpool mengesahkan pemain pertahanan, Joe Gomez patah kaki kiri ketika menewaskan Burnley di Turf Moor dan bakal diketepikan selama enam minggu.

Pertahanan England berusia 21 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas dikasari Ben Mee dalam aksi yang dimenangi Liverpool 3-1.

"Liverpool mengesahkan Joe Gomez patah kaki kiri sebelah bawah ketika menentang Burnley,” kata jurucakap kelab dalam satu kenyataan.

"Pertahanan itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-23 di Turf Moor selepas dibentes dengan keras dan tidak dapat meneruskan permainan.”

"Kecederaan Gomez diperiksa lebih lanjut oleh pasukan perubatan Reds di Melwood, semalam.

"Pemeriksaan awal mendapati Gomez perlu berehat sehingga enam minggu tetapi bergantung juga kepada kemajuan sesi rawatan dan pemulihan dijalaninya.”

Ini bermakna Gomez hanya boleh melakukan kemunculan semula pada pertengahan Januari dengan Liverpool terbabit sembilan perlawanan dalam tempoh itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:45 AM