Barisan Pemain Malaysia ketika pertemuan separuh akhir pertama menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil. FOTOMOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Barisan Pemain Malaysia ketika pertemuan separuh akhir pertama menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil. FOTOMOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila memilih jalan sukar apabila bertandang ke Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF, Rabu ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sepatutnya sudah boleh melangkah satu kaki ke final, namun akibat ketumpulan jentera serangan, mereka terpaksa gigit jari dengan keputusan 0-0 untuk memberi keyakinan buat juara bertahan Thailand yang kini sudah 'menghidu' kesengsaraan yang bakal dihadapi Malaysia pada aksi kedua nanti.

Berikut penguasaan bola hampir sepanjang permainan, ia sesuatu yang harus diberi pujian buat pemain negara kerana mampu mengekalkan corak hantaran pendek dalam melancarkan serangan dan bukannya permainan hantaran jauh yang sudah lama diamalkan skuad kebangsaan.

Harimau Malaya berjaya memberi tekanan kepada Thailand yang kadang-kala terpaksa menyepak bola 'kelaut' untuk mententeramkan keadaan sehingga penyokong terlupa bahawa pasukan lawan yang ditemui itu adalah, jaguh Asia Tenggara dengan lima kejuaraan Piala AFF dan menduduki ranking ke-118 dunia.

Memang benar skuad Gajah Perang tanpa beberapa pemain utama seperti Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda dan Kawin Thamsatchanan yang tidak mendapat pelepasan kelab masing-masing tapi harus diingat, dengan pemain itu juga, Malaysia tetap menang 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada final Piala AFF 2014 cuma dikecewakan menerusi agregat 4-3.

Cheng Hoe yang baru mengambil alih Harimau Malaya awal tahun ini masih memerlukan masa untuk menerapkan falsafah permainannya tapi adalah rugi jika mereka tidak mengambil peluang terhidang untuk memburu kejuaraan Piala AFF atau sekurang-kurangnya ke final buat kali keempat.

Apa yang perlu dilakukan oleh pemain negara sekarang adalah membuang segala penyesalan yang dirasai pada aksi semalam, kembali fokus dan yakin bahawa bukan mustahil untuk mereka mencipta kejutan dalam baki 90 minit permainan di Bangkok.

Jentera serangan yang diterajui kapten Zaquan Adha Abd Radzak serta dibantu Safawi Rasid, Norshahrul Idlan Talaha perlu lebih tenang dan tajam dalam kotak penalti apatah lagi mereka mungkin kehilangan larian Mohamadou Sumareh di sebelah kanan akibat kecederaan hasmtring.

Pemain tengah Syamer Kutty Abba perlu mengulangi aksi 'man of the match' bagi membantu Akram Mahinan mendominasi bahagian tengah bagi menyekat Thitipan Puangjan melakukan 'killer pass' kepada penjaring terbanyak Adisak Kraison.

Dengan format gol di tempat lawan, pemain negara perlu mendapatkan gol awal untuk memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah serta kekal disiplin dan tidak melakukan kesilapan mudah.

Jika itu berjaya dilaksanakan, anggaplah misi Harimau Malaya untuk ke final selesai Rabu ini.

tamat 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 6:15 PM