MADDISON (tengah) jaring gol kedua buat Leicester. -Foto Reuters
MADDISON (tengah) jaring gol kedua buat Leicester. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Leicester City menggembirakan penyokong mereka selepas menewaskan Watford 2-0 semalam sekali gus kemenangan pertama di Stadium King Power sejak September lalu.

Jamie Vardy membuka jaringan melalui sepakan penalti pada minit ke-12 selepas dia di jatuhkan penjaga gol lawan Ben Foster.

Tuan rumah meledak gol kedua 11 minit kemudian hasil serangan balas pantas dengan James Maddison memanfaatkan hantaran Marc Albrighton dari sebelah kanan.

Watford bergelut mengekang kepantasan serangan pasukan tuan rumah sehingga memaksa Etienne Capoue melakukan kekasaran ke atas Kelechi Iheanacho dan diarah keluar padang.

Persembahan pasukan tuan rumah itu mengimbau prestasi cemerlang mereka ketika muncul juara 2015-16 dan pengurus Claude Puel puas hati selepas anak buahnya kembali temui momentum.

“Kemenangan ini sangat penting apatah lagi menentang lawan kuat yang mempunyai corak terbuka dan kami memaksa mereka membuka ruang. Pada mulanya agak sukar tetapi kami berjaya mengatasinya dengan serangan balas pantas dan berjaya menjaringkan gol hebat dan tanpa bolos,” katanya.

“Jaringan Maddison memang fantastik, dua jaringan hasil serangan kilat dan hasil gabungan larian dan persefahaman antara pemain. Sangat lengkap.”

Leicester kini berada di tangga ke lapan liga dengan 21 mata. Watford pula di tangga ke-10 dengan tanpa kemenangan sama ada di tempat sendiri atau lawan sejak Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:17 AM