Izzali Ismail dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman


ALOR SETAR: Kehangatan separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dan Thailand malam esok turut dirasai warga Malaysia keturunan Siam yang rata-rata memberi sokongan tidak berbelah bagi buat skuad Harimau Malaya. 

Walaupun jauh di utara tanah air, ada antara mereka mereka tidak melepaskan peluang turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil malah sanggup ke Bangkok bagi pertemuan pusingan kedua Rabu ini di ibu kota Thailand itu.

Sury Rattanak Prommachan, 16.

"Sebagai rakyat Malaysia dan pemain bola sepak wanita bagi Daerah Pendang, saya sangat berharap Harimau Malaya mampu menewaskan skuad Thailand dan seterusnya layak ke pentas final pada kali ini. 

"Kita pernah bergelar juara Piala AFF pada 2010 lalu, dan tidak mustahil impian rakyat Malaysia yang mahukan Malaysia sekali lagi ke final dan muncul juara boleh menjadi kenyataan dengan usaha gigih jurulatih, pemain dan sokongan seluruh rakyat.

"Ayuh Malaysia buktikan anda terbaik, saya ramalkan Malaysia menang 3-1," katanya yang berasal dari Pendang.

 

Watsana Yut, 18.

"Sebagai rakyat Malaysia sudah pasti menyokong Harimau Malaya dan berdoa negara memperoleh kemenangan.

"Saya harap Malaysia menang 3-0 esok dan teruskan berjuang pada perlawanan di Bangkok minggu hadapan," katanya yang berasal dari Kampung Jejawi, Arau.

 

Elart andinprat, 46.

"Walaupun berketurunan Siam dan keluarga memang berasal dari Thailand, tetapi demi negara kami pasti menyokong Malaysia.

"Semangat cintakan tanah air sangat tinggi dalam kalangan masyarakat kami. Selamat berjuang dan kita boleh menang 2-0," katanya yang berasal dari Kampung Jejawi, Arau.

 

Boon Sis Den Sing, 50.

"Sebagai rakyat Malaysia yang dibesarkan di Pendang, saya akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Harimau Malaya yang akan turun menenentang Thailand esok malam. 

"Semangat Harimau Malaya sentiasa membara dalam diri saya dan sebagai rakyat Malaysia saya bersama rakan akan hadir ke Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada pemain.

"Berdasarkan prestasi ketika menumpaskan Myanmar, saya yakin Malaysia mampu menang dengan jaringan 3-0," katanya yang berasal dari Pendang.

Pra Khong Pra Sit, 28.

"Setiap kali perlawanan membabitkan Harimau Malaya saya tidak akan melepaskan peluang untuk memberi sokongan padu termasuk ke Stadium Bukit Jalil.

"Malaysia memiliki peluang keemasan pada tahun ini dan saya berharap Malaysia mampu menang esok dan jika tiada halangan kami akan ke Bangkok bagi menyaksikan perlawanan di sana pula," katanya yang meramalkan Malaysia mampu menang 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 10:56 PM
PEMAIN Harimau Malaya ketika sesi latihan di Stadium Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi
PEMAIN Harimau Malaya ketika sesi latihan di Stadium Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi