HALIM (tengah) dalam perhatian Selangor. FOTO/NSTP
HALIM (tengah) dalam perhatian Selangor. FOTO/NSTP
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Pemain tengah berpengalaman Kedah Abdul Halim Saari kini dikhabarkan dalam 'radar' skuad Selangor sebagai persiapan membentuk barisan pemain menghadapi musim Liga Malaysia 2019.

Melalui sumber diperolehi, reputasi serta pengalaman disumbangkan termasuk kejayaan bersama Kedah sejak musim 2016 merupakan antara faktor Halim diintai The Red Giants.

Jika menjadi kenyataan, maka Selangor bakal memiliki seorang pemain yang mampu melakukan hantaran jauh kepada jentera serangan pada masa yang tepat selain menggalas cabaran besar berdasarkan pengalamannya dalam Liga Malaysia.

Ketika bersama Kedah, nama Halim kerap menjadi sebutan bagi mengisi posisi tengah dan dia juga pilihan terbaik menggantikan pemain import Liridon Krasniqi apabila tidak dapat diturunkan.

Halim yang dihubungi wakil NSTP semalam bagaimanapun tidak memberi jawapan khusus terhadap pertanyaan diajukan berkaitan Selangor seperti mana rakan sepasukannya Syazwan Zainon yang difahamkan sudah diikat Selangor sebelum ini.

"Memang ada pertanyaan dari kelab dari Lembah Kelang itu sebelum ini, namun segala keputusan belum muktamad."

"Saya masih memiliki kontrak bersama Kedah hingga hujung bulan ini dan tunggulah nanti saya sendiri akan memaklumkan perkembangan selanjutnya apabila segalanya muktamad."

"Saya mahu terus berkerja keras demi memastikan kejayaan dan berharap musim 2019 menjadi medan yang lebih baik berbanding musim ini." katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan kiri Kedah Ariff Farhan yang juga pemain skuad B-23 Kebangsaan mengumumkan bakal bersama pasukan PKNS FC untuk musim depan.

Berita berkenaan juga turut dikongsikan dalam laman sosial Facebook milik kelab berkenaan pada Sabtu lalu dengan tajuk ‘Selamat Datang Ariff Farhan ke koloni Semut Merah’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:02 PM