LEONARDO JARDIM
LEONARDO JARDIM
Agensi

MADRID: Real Madrid sedang menimbangkan peluang untuk mengikat bekas pengendali Monaco, Leonardo Jardim sebagai ketua jurulatih baharu mereka, lapor ESPN FC.

Pengendali dari Portugal itu dipecat awal bulan ini berikutan permulaan hambar pasukannya biarpun ia berpunca daripada keputusan kelab Perancis itu menjual ramai pemain bintangnya.

Ketika ini Real melantik Santiago Solari sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Julen Lopetegui.

Bagaimanapun, Solari cemerlang dengan mengemudi Los Blancos mencatat kemenangan 4-0 ke atas Melilla dalam aksi Copa del Rey disusuli kejayaan La Liga mengatasi Real Valladolid 2-0.

Keputusan positif itu pastinya menjadi rujukan untuk bekas pemain Argentina itu untuk dilantik sepenuh masa hingga akhir musim, namun wujud dakwaan yang mengaitkan Jardim pula dengan posisi terbabit.

Sebagai rekod, Jardim pernah mengendali Braga, Olympiakos dan Sporting Lisbon sebelum mengambil alih Monaco pada 2014 yang mana pencapaian terbaiknya adalah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:05 AM