Penyokong Terengganu tiba di Stadium Shah Alam manakala abang Joe menjual headband mafla menjelang final malam ini. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Penyokong Terengganu tiba di Stadium Shah Alam manakala abang Joe menjual headband mafla menjelang final malam ini. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Khairie Khalid dan Naqib Nor Said dan Syafiq Aznan


SHAH ALAM: Hujan lebat sebelum aksi final Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam di sini tidak melunturkan semangat penyokong kedua-dua pasukan yang mula membanjiri pekarangan stadium berkenaan.

Malah, ada yang tiba ke kawasan stadium dalam keadaan basah kuyup selepas hujan pada jam 2.45 petang tadi dengan mereka turut menjadikan khemah jualan cenderamata dan jersi sebagai tempat berteduh.

Seorang peniaga jersi yang hanya mahu dikenali sebagai Abg Joe berkata, walaupun jualan agak perlahan, namun beliau gembira kerana memperoleh keuntungan sejak gerainya dibuka pagi semalam.

"Memang ketika ini agak perlahan jualan jersi kerana hujan lebat dan penyokong lebih banyak menjadikan khemah peniaga sebagai tempat berteduh.

"Tetapi hasil jualan yang diperoleh dari semalam masih boleh dianggap OK. Jika dibandingkan dengan perlawanan biasa, kami masih memperoleh keuntungan sehingga lima atau enam kali ganda walaupun terdapat persaingan," katanya ketika ditemui di pekarangan stadium.

Menerusi tinjauan Unit NSTP Sukan, dua barangan yang menjadi 'kegilaan' penyokong adalah bendera negeri Perak dan Terengganu selain mafla dengan ia boleh dibeli pada harga antara RM3 hingga RM10.

Selain itu, baju hujan juga menjadi antara barangan yang menjadi buruan penyokong kedua-dua pasukan.

Seorang peniaga makanan dan minuman, yang mahu dikenali sebagai Salina, 43, mengakui beliau tetap menjangkakan hasil jualan yang tinggi biarpun hujan lebat mungkin menjejaskan sasaran awal keuntungannya.

"Tidak mengapa sebab perlawanan masih berbaki beberapa jam dan saya yakin sebaik hujan berhenti mungkin akan lebih ramai penyokong yang memenuhi stadium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 4:25 PM