AKSI pemain import bagi musim depan mungkin akan berkurangan. FOTO NSTP
AKSI pemain import bagi musim depan mungkin akan berkurangan. FOTO NSTP
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Tidak mahu pasukan Liga Malaysia (Liga-M) terbeban dengan kos pemain import yang tinggi, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini membuat keputusan untuk membatalkan peraturan 18, pendaftaran pemain asing, Artikel 18.2(f), manual Liga Malaysia.

Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL itu membabitkan kelayakan negara pemain asing yang boleh didaftarkan dalam Liga-M yang sebelum ini dilihat menyukarkan banyak pasukan.

“Selepas meneliti peraturan Manual Liga Malaysia, Lembaga Pengarah mendapati pemilihan pemain asing dalam pasukan Liga Malaysia adalah terhad. Ini kerana pasukan yang bertanding terbeban dengan kos untuk mengambil pemain liga luar negara dari divisyen yang lebih tinggi kerana pasukan perlu menurut kelayakan yang ditetapkan dalam peraturan itu.

“Melalui pembatalan ini juga mampu membuka peluang kepada pasukan untuk membuat pelaburan dalam pengambilan pemain muda yang turut mampu memberi kelebihan buat pasukan dalam pasaran perpindahan pemain antarabangsa jika pasukan teliti dan mahir dalam membuat pemlihan pemain asing mereka. Peluang ini sukar untuk dilakukan sebelum pembatalan peraturan itu.

“Oleh itu, MFL akan membatalkan peraturan itu sekali gus membolehkan pasukan Liga Malaysia musim 2019 untuk mendaftar pemain asing yang berkualiti dari divisyen yang lebih rendah supaya tidak terbeban dengan kos tinggi,” menurut satu kenyataan MFL hari ini.

Sebelum ini antara syarat yang ditetapkan oleh MFL seperti dalam ketetapan manual pertandingan Liga Malaysia 2018 adalah setiap pasukan hanya boleh mengambil pemain yang bermain di liga Eropah (UEFA) dan Amerika Selatan (CONMEBOL) dalam liga kebangsaan divisyen ke-3 ke atas.

Manakala mana-mana pemain yang beraksi di liga Afrika (CAF) dan Amerika Tengah (CONCACAF) mestilah bermain dalam liga kebangsaan divisyen ke-2 ke atas.

Bagi pemain import ASEAN pula harus beraksi sekurang-kurangnya 30 perlawanan bersama pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, MFL menegaskan mereka masih tidak berkompromi dalam soal pendaftaran pemain sambil mengharapkan semua pasukan bijak memilih pemain import berkualiti.

“Bagaimanapun, pemain asing yang hendak didaftarkan untuk bermain dalam Liga Malaysia 2019 wajib memperoleh visa atau permit kerja yang sah berserta Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC),” jelas MFL.

Namun MFL masih mengekalkan kuota lima pemain import termasuk seorang pemain import Asia dan ASEAN bagi pasukan Liga Super manakala empat pemain import termasuk seorang pemain import Asia bagi pasukan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:07 PM