RAFAEL BENITEZ
RAFAEL BENITEZ
Reuters

MANCHESTER: Pengendali Newcastle United Rafa Benitez mengakui kekalahan 3-2 kepada Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi sukar diterima tetapi menggesa anak buahnya untuk meneruskan rentak yang menyaksikan mereka memperoleh dua gol awal di Old Trafford.

Newcastle mendahului 2-0 selepas 10 minit permainan hasil tindakan penyudah bijak oleh Kenedy dan rembatan jarak dekat pemain baharu Yoshinori Muto. Ini kali petama skuad Tyneside berjaya mendahului permainan musim ini.

Bagaimanapun pelawat dikecewakan dengan gol lewat permainan oleh Juan Mata, Anthony Martial dan Alexis Sanchez, sekali gus meletakkan Newcastle di tangga kedua tercorot liga selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa kemenangan.

“Ia sukar untuk ditelan kerana kami beraksi sangat baik,” kata Benitez. Ketika 2-0 kami mempunyai peluang menjaringkan gol ketiga dan berjaya mengawal pasukan yang sangat baik.

“Apabila kami dibolosi gol pertama kami mula mempunyai masalah kerana mereka mempunyai ramai pemain bagus yang mampu dibawa masuk dari bangku simpanan dan sukar untuk mengekang mereka.

“Kami menguasai sebahagian besar permainan, kami mengasak dengan baik dan mencipta peluang, tetapi peluang yang tidak dimanfaatkan membezakan kami. Kami perlu kekal tenang dan memastikan usaha begini diteruskan kerana kami akan menang jika bermain seperti ini.”

Dua mata dikutip Newcastle selepas lapan perlawanan adalah permulaan musim Liga Perdana terburuk mereka.

Mereka memerlukan keputusan positif selepas rehat antarabangsa di laman sendiri menentang Brighton & Hove Albion pada 20 Oktober bagi mengelak penyingkiran kedua dalam tempoh tiga tahun.  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:43 AM