COURIER lepas jawatan selepas AS tewas pada aksi separuh akhir. FOTO/AFP
COURIER lepas jawatan selepas AS tewas pada aksi separuh akhir. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Kapten Piala Davis Amerika Syarikat, Jim Courier meletakkan jawatan selepas lapan tahun susulan kekalahan negaranya pada separuh akhir di tangan Croatia.

Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) dalam satu kenyataan semalam menyatakan bekas pemain nombor satu dunia itu memberitahu pasukan beliau melepaskan jawatan sesudah tewas 2-3 di tangan Croatia di Zadar.

“Susulan perlawanan dengan Croatia, saya memberitahu pemain dan staf ini tahun terakhir saya sebagai kapten pasukan Piala Davis AS,” kata Courier.

“Satu penghormatan dan keistimewaan buat saya mewakili USTA dan AS sebagai pemain dan kapten. Saya tidak sabar menyorak pasukan ketika mereka memburu piala dengan format baru bermula tahun depan.”

Courier menjadi sebahagian daripada pasukan yang muncul juara Piala Davis sebagai pemain, membantu menewaskan Switzerland (1992) dan Russia (1995).

Namun beliau gagal mengulangi kejayaan itu sebagai kapten dengan penamat terbaik pasukan itu adalah separuh akhir pada 2012 dan 2018.

Secara keseluruhan, AS menang 10 dan kalah lapan kali perlawanan Kumpulan Dunia di bawah kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 10:41 AM