ERNESTO VALVERDE
ERNESTO VALVERDE

BARCELONA, Sepanyol: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde mengkritik secara terbuka individu di sekelilingnya yang terbabit dengan majlis anugerah selepas Luka Modric dinobat sebagai Pemain Terbaik FIFA 2018.

Modric menewaskan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo serta pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah dengan nama Lionel Messi tiada dalam senarai pendek bagi anugerah di London itu.

Messi tersenarai dalam skuad pilihan kesebelasan terbaik dunia FIFPro tetapi seperti Ronaldo, bintang Argentina itu mencetus kontroversi apabila tidak hadir ke majlis anugerah itu.

FIFA ‘berpisah’ daripada anugerah Ballon d’Or pada 2016 untuk menganjurkan majlis anugerah penghargaan sendiri yang bermakna akan berlaku pengulangan pengiktirafan apabila Ballon d’Or memilih pemainnya Disember depan.

“Sekarang segala-galanya diperbesarkan. Terlalu banyak anugerah, banyak majlis dan setiap majlis pula akan memperlihatkan ego penganjur.

“Mereka berkumpul bersama dengan dikelilingi barisan pemain bola sepak utama dunia. Malah banyak yang ditulis mengenainya sekali gus menjadikan isu itu semakin bising, kontroversi dan kontroversi menjadikan setiap orang mula mendengar kata.

“Orang ramai juga berminat dengan topik seperti ini. Pada asasnya ia sepatutnya sukan saja. Tapi lama kelamaan ia menjadi seolah-olah satu perniagaan,” katanya.

Kejayaan Modric menunjukkan betapa dia menjadi tonggak utama Croatia melangkah ke final Piala Dunia. Dia juga menjadi tonggak penting Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

“Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Saya bukan mahu melakukan perbandingan. Modric melalui musim yang baik tapi dia tidak sehebat mana. Bagi kami yang terbaik adalah Messi.”

Valverde juga tidak mengkritik Messi dan Ronaldo kerana tidak hadir pada majlis itu.

“Apabila anda dijemput ke majlis tertentu, anda boleh menjemput sesiapa saja tapi orang yang anda jemput itu boleh memilih sama ada mahu pergi atau tidak,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:51 PM