PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah selepas pengadil perlawanan, Felix Brych bertemu dengan pegawai perlawanan. FOTO Reuters
PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah selepas pengadil perlawanan, Felix Brych bertemu dengan pegawai perlawanan. FOTO Reuters
Agensi

ROME: Kad merah yang dilayangkan terhadap Cristiano Ronaldo ketika aksi Liga Juara-Juara disifatkan bekas pengurus Juventus, Marcello Lippi sebagai ‘tidak masuk akal’ dan penyerang itu menjadi mangsa ‘halusinasi’ pegawai perlawanan.

Penyerang Portugal itu, yang membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Juara-Juara bersama Juventus diarah keluar padang pada minit ke-29 pada perlawanan bertemu Valencia di Mestalla.

Pengadil perlawanan, Felix Brych, selepas menerima nasihat pegawai perlawanan di belakang gawang melayangkan kad merah apabila Ronaldo dikatakan menarik rambut pemain lawan, Jeison Murillo.

Keputusan itu, yang menyaksikan pemenang lima kali Ballon d’Or berkenaan mengalirkan air mata - mencetus perdebatan hangat dengan Lippi menggesa agar sesuatu perlu dibuat terhadap insiden berkenaan.

“Kad merah terhadap Ronaldo adalah disebabkan ada orang mengalami halusinasi,” kata bekas jurulatih skuad kebangsaan Itali itu.

“Kamu tidak boleh mengambil risiko yang akan merosakkan perlawanan, lebih daripada itu, perkara yang dilakukan turut memberikan penggantungan dua perlawanan.

“Kini UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) perlu keluar dan berkata, ‘kamu semua, kami bersalah.’ Kamu tidak boleh berundur ke belakang kerana Ronaldo sudah pun diarah keluar padang dan permainan sudah berakhir tetapi penggantungan pasti tidak masuk akal.

“Oleh itu, ia tidak sepatutnya berlaku dan kita perlu segera melaksanakan VAR (Video Bantuan Pengadil) dalam Liga Juara-Juara.”

Lippi berkata, pemain seperti Ronaldo yang sudah mengharungi 154 perlawanan Liga Juara-Juara tidak sepatutnya menerima layanan seperti itu.

“Dia tidak melakukan sebarang kesalahan menentang Valencia. Dunia mengiktiraf Ronaldo sebagai bintang, tetapi perkara yang utama ialah dia adalah lelaki yang menghormati orang lain dan amat membantu.

“Air matanya di Mestalla mengesahkannya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:52 PM