MOHD Noor (kiri) dilanjutkan kontrak bersama TCFC. FOTO/TCFC
MOHD Noor (kiri) dilanjutkan kontrak bersama TCFC. FOTO/TCFC
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Mohd Derus boleh tidur lena apabila kontraknya bersama skuad juara Piala FAM itu akan disambung musim depan.

Berita gembira buat jurulatih kelahiran Melaka itu diumumkan oleh pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar yang menyatakan pengurusan masih berminat untuk menggunakan khidmat jurulatih berusia 42 tahun itu.

“Kami bersetuju untuk mengekalkan Mohd Noor dan kontrak beliau akan disambung tidak lama lagi dalam mengharungi kancah Liga Perdana musim depan yang sudah semestinya lebih mencabar berbanding Liga FAM.

“Beliau yang mengemudi pasukan kami muncul juara Piala FAM baru-baru ini akan dibantu bekas pemain kebangsaan berasal dari Terengganu iaitu Anuar Jusoh,” ujar Rezal.

Sebelum ini khidmat Mohd Noor bersama skuad The Sharks menimbulkan persoalan kerana skuad yang berpangkalan di Terengganu itu akan melakukan percaturan semula selepas menjuarai piala itu.

Menurut Rezal, beliau juga menerima beberapa permohonan jurulatih lain untuk membimbing skuad itu, namun mereka lebih berminat dengan kepakaran dimiliki Mohd Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 12:55 PM