HARRY KANE
HARRY KANE
Reuters

LONDON: Penyerang England, Harry Kane akan direhatkan bagi aksi persahabatan menentang Switzerland di Stadium King Power awal pagi esok dengan pengurus, Gareth Southgate dilihat mahu melindungi pemain itu.

Bintang Tottenham Hotspur berusia 25 tahun itu yang memenangi anugerah Kasut Emas pada Piala Dunia di Russia selepas meledak enam gol, sering diturunkan sepanjang 61 perlawanan sejak awal musim lalu.

“Saya rasa ini peluang terbaik untuk melakukannya,” kata Southgate semalam. “Harry berada dalam kategori yang mana kami mempunyai beberapa pemain yang perlu dipantau berapa kali mereka bermain.”

Southgate mungkin akan melakukan sembilan pertukaran daripada kebelasan utama yang tewas 1-2 kepada Sepanyol pada perlawanan pertama Liga Negara Eropah di Stadium Wembley, Sabtu lalu.

Rakan sekelab Kane, Eric Dier akan mengetuai pasukan yang dijangka turut disertai penjaga gol Jack Butland, James Tarkowski, Kyle Walker, Danny Rose, Ruben Loftus-Cheek, Fabian Delph serta penyerang Danny Welbeck.

“Ia tempoh rehat yang singkat dengan tiada aksi pramusim. Saya pasti setiap pemain menjangkakan perlawanan bersama kelab masing-masing. Biasanya kelab mempunyai hak ke atas pemain mereka tapi kali ini agak berbeza.

“Kami dapat melihat kemampuan setiap pemain untuk objektif jangka panjang. Jadi saya rasa inilah peluang terbaik untuk melakukannya,” katanya.

Seorang lagi pemain Tottenham, Dele Alli turut diketepikan kerana kecederaan otot ketika bertemu Sepanyol.

“Alli hanya berdepan kecederaan kecil dan mungkin boleh diturunkan bersama kelabnya apabila bertemu Liverpool, Sabtu ini,” kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:31 AM