KETUA jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe. EPA
KETUA jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe. EPA
Daripada Aziman Rosdi di Phnom Penh


KETUA jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa kemenangan ke atas Kemboja 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi tidak akan memberi sebarang makna andai pemain mempamerkan prestasi tidak konsisten di tempat lawan.

Ia kemenangan pertama skuad kebangsaan di gelanggang lawan sejak menewaskan New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016 dalam perlawanan persahabatan di Noumea.

Kebangkitan pemain negara menewaskan Kemboja yang mahu memulakan revolusi baru di bawah kendalian bintang Jepun Keisuke Honda jelas petanda positif menjelang Piala AFF November depan apabila Malaysia memulakan kempen Kumpulan A menentang skuad Angkor Warriors itu di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh.

“Selepas kita melepaskan gol awal, pemain bangkit memberi persembahan lebih baik. Pemain mempamerkan sikap tak mengalah dan saya harap pemain akan mengekalkan prestasi apabila beraksi di tempat lawan.

“Banyak aspek positif pemain dalam perlawanan malam ini dan saya harap mereka akan lebih bersedia apabila Piala AFF bermula nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Tiga gol pada babak kedua Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Sharel Fikiri Md Fauzi memadam jaringan  awal Thierry Chantha Bin  sekali gus melenyapkan sorakan 40,000 penyokong tempatan di Phnom Penh.

Ia kemenangan cukup penting buat Malaysia yang berada di ranking ke-171 dunia ke atas Kemboja (166) apatah lagi selepas tewas 0-2 di tangan Taiwan dalam satu lagi aksi persahabatan Jumaat lalu.

“Pemain kita cukup bersemangat untuk menyerap tekanan dengan Keisuke Honda di tepi padang. Dengan jurulatih baru, ia bukan mudah buat pemain Kemboja tapi saya percaya bukan mudah untuk kita mengatasi mereka pada Piala AFF nanti,” jelas Cheng Hoe.

Selepas ini, Harimau Malaya akan  beraksi dalam tiga lagi aksi persahabatan  pada 8 November bertemu Sri Lanka di Colombo, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat Melaka (12 Oktober), Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November) sebelum mengharungi Piala AFF.

Dalam saingan itu Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:03 AM