HAK-Bom tuntut anak buah pertahan pingat emas Sukan Asia. FOTO/AFP
HAK-Bom tuntut anak buah pertahan pingat emas Sukan Asia. FOTO/AFP
Reuters

BOGOR (Indonesia): Jurulatih bola sepak Korea Selatan, Kim Hak-bom menuntut barisan anak didiknya mengekang serangan daripada Jepun dalam usaha mereka untuk mempertahankan emas di temasya Sukan Asia dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung malam ini.

Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung Min adalah salah seorang pemain yang berusia lebih daripada 23 tahun dalam skuad itu, mengetuai barisan Korea Selatan dan hanya kemenangan akan memastikan dia mendapat pengecualian daripada menyertai perkhidmatan ketenteraan yang wajib ke atas semua rakyat negara itu.

Semua lelaki di Korea Selatan yang sempurna sifatnya perlu menyertai perkhidmatan ketenteraan selama 21 bulan namun pengecualian itu ditawarkan kepada atlet yang memenangi pingat emas di Sukan Asia atau apa saja warna pingat di Olimpik.

“Kami bersedia untuk perlawanan ini dan kami akan memberi yang terbaik,” kata Kim. “Saya mahu menjadi agresif tetapi saya juga mahu pemain bertindak dengan bijak.

“Saya percaya pemain akan bermain dengan baik. Cuma satu yang saya risaukan mereka akan menjadi terlalu agresif kerana inginkan kemenangan.

“Selain itu, pemain saya akan mempamerkan aksi terbaik tanpa ragu kerana perlawanan akhir itu adalah penting buat mereka. Jadi saya tidak mahu mengatakan apa-apa kepada pemain.

Son hanya sempat dimasukkan dari bangku simpanan untuk Spurs sebelum dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan Korea Selatan awal bulan lalu.

Spurs kini menghuni tangga kedua Liga Perdana di belakang Liverpool dengan hanya dibezakan dengan bilangan gol selepas memenangi ketiga-tiga perlawanan pembukaan mereka.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 10:54 AM