AKSI pasukan sepak takraw negara ketika menentang pasukan Indonesia dalam acara antara regu akhir pada Sukan Asia Ke-18 di Bandar Sukan Jakabaring. Foto BERNAMA
AKSI pasukan sepak takraw negara ketika menentang pasukan Indonesia dalam acara antara regu akhir pada Sukan Asia Ke-18 di Bandar Sukan Jakabaring. Foto BERNAMA
Haika Khazi


PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedia memberi insentif kepada barisan pemain dan jurulatih skuad kebangsaan yang meraih pingat emas acara antara regu di Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang, semalam.

Bagaimanapun, Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail enggan mendedahkan bentuk insentif bakal diberikan kerana menganggap perkara berkenaan perlu dibincangkan di peringkat tertinggi kepemimpinan badan induk itu terlebih dulu.

"Kita memang mahu memberikan hadiah kepada pemain, namun jumlah dan bentuk ganjaran itu hanya akan ditentukan dalam mesyuarat EXCO PSM selepas kami kembali ke tanah air nanti.

"Ini penting kerana pada masa yang sama, kita juga tidak mahu menggalak dan mendidik pemain agar terbiasa dengan budaya bermain takraw hanya kerana ganjaran.

"Tapi, saya amat bersyukur kerana setakat ini semua pemain bermain bermati-matian dan akhirnya menang emas di Sukan Asia hanya kerana mahu mengharumkan nama negara dan menjaga maruah Malaysia,  bukannya disebabkan ganjaran," katanya kepada Sukan NSTP dari Jakarta, hari ini.

Ahmad juga menganggap kemenangan itu sebagai hadiah paling bermakna daripada pemain dan PSM buat seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61, Jumaat ini.  

"Kita juga bercadang mengekalkan semua pemain dalam skuad ini untuk menghadapi Kejohanan Piala Raja Thailand, September ini dan seterusnya ke Sukan SEA 2019 di Manila sekiranya mereka terus menunjukkan peningkatan pretasi," katanya.

Sebelum ini, skuad kebangsaan merangkul emas dengan menewaskan regu tuan rumah Indonesia 18-21, 22-20 dan 21-11 bagi membuktikan Malaysia masih antara kuasa terkuat dalam sukan takraw di rantau ini. 

Kejayaan regu lelaki dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) bertambah manis kerana menamatkan penantian 24 tahun Malaysia untuk meraih emas sukan tradisi itu selepas kali terakhir melakukannya di Sukan Asia 1994 Hiroshima, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 3:39 PM