PELUMBA Monster Yamaha Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO AFP
PELUMBA Monster Yamaha Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO AFP
Fadhli Ishak

 

MUKA baharu MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah terus memperaga tunggangan cemerlang pada sesi latihan Grand Prix (GP) Republik Czech, hari ini.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menamatkan sesi latihan pertama (FP1) di tangga ketiga ketika catatan 1 minit dan 57.428 saat yang dilakukannya itu hanya 0.871 saat di belakang rakan sepasukannya, Johann Zarco yang mengungguli FP1 dengan catatan 1 minit 56.647 saat.

Hafizh kemudiannya melakukan pecutan lebih baik pada sesi latihan kedua (FP2) dan mencatat 1 minit 56.200 saat sekali gus menamatkan latihan di tangga keempat sebagai muka baharu dan juga pelumba Yamaha terpantas di litar Brno.

Kedudukan keempatnya pada FP2 juga menjadi catatan terbaiknya sepanjang sesi latihan musim ini.

Pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa mendahului FP2 dengan catatan 1 minit 55.976 saat sementara Zarco jatuh ke tangga kesembilan dengan catatan 1 minit 56.535 saat.

Hafizh kini mensasarkan supaya dapat mengesahkan tempatnya pada pusingan kelayakan kedua (Q2) ketika sesi latihan akan bersambung esok.

“Saya rasa begitu baik dengan jentera saya hari ini jadi saya perlu mengucapkan terima kasih kepada kru saya. Kami bekerja keras pada sembilan perlumbaan pertama ini dan kini saya kembali dengan keadaan yang lebih hebat selepas rehat musim panas,” katanya.

 

“Buat masa ini, kami hampir sebelah kaki ke Q2 namun kami tahu sesi latihan ketiga (FP3) akan menjadi lebih menarik untuk kami melihat kedudukan sebenar kami.” 

Untuk layak ke Q2, Hafizh perlu kekal dalam kedudukan 10 terbaik pada FP3, esok.

Pelumba kelahiran Ampang itu kini menduduki tangga ke-16 secara keseluruhan dengan 22 mata namun mendahului carta muka baharu dengan kelebihan tiga mata mengatasi pencabar terdekat, Franco Morbidelli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:08 PM