BEKAS Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Hamidin (dua dari kanan) bersama King Hui (kiri) di Hotel Hatten Melaka, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad
BEKAS Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Hamidin (dua dari kanan) bersama King Hui (kiri) di Hotel Hatten Melaka, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


SELEPAS kira-kira dua minggu dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin lega apabila badan induk bola sepak negara itu menerima tajaan berjumlah RM6 juta bagi tempoh tiga tahun dari tahun 2018 hingga 2021.

Penyerahan tajaan RM2 juta setahun daripada CustomCraft (M) Sdn Bhd itu berlangsung di Hotel Hatten, di sini, hari ini selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima.

Hamidin berkata, tajaan berkenaan akan digunakan sebaiknya untuk pelbagai keperluan sama ada kegunaan badan induk bola sepak terbabit, pasukan kebangsaan dan sebagainya.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif CustomCraft, Datuk Yeong King Hui kerana menyokong dan percaya dengan perjuangan memajukan bola sepak yang saya pimpin sekarang. Beliau tahu saya seorang pemimpin yang naik dari bawah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Majlis penyerahan replika cek RM6 juta oleh King Hui kepada Hamidin itu disaksikanĀ Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL),Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

CustomCraft adalah sebuah syarikat kejuruteraan yang menyediakan fasiliti, peralatan, permesinan, pengilangan semula dan servis pengubahsuaian kepada industri petroleum dan minyak sawit negara.

Hamidin berkata, pada mesyuarat terbabit Jawatankuasa Eksekutif FAM membincangkan beberapa isu, termasuk soal pemain naturalisasi dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangan berkaitan NFDP kerana mahu menyerahkan cadangan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menteri itu akan mengumumkan apa juga keputusan berkaitan hal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 7:33 PM