KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. FOTO Hasriyasyah Sabudin
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Zulfaizan Mansor


KEHADIRAN Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan E saingan acara bola sepak Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan jelas merencatkan persiapan terakhir skuad bawah 23 (B-23) negara ke temasya itu.

Apa tidaknya, susulan perubahan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terpaksa membatalkan aksi persahabatan berdepan skuad B-23 Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos ini.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), hari ini mengesahkan aksi Kumpulan E yang dihuni lima pasukan termasuk Korea Selatan, Malaysia, UAE, Kyrgyzstan dan Bahrain terpaksa bermula pada 10 Ogos ini berbanding 14 Ogos dalam jadual asal.

Justeru, Kim Swee menjelaskan beliau kini hanya memiliki tempoh empat hari latihan dan mengharungi satu aksi persahabatan berdepan skuad B-23 China pada 5 Ogos ini sebelum berlepas ke Jakarta pada 8 Ogos.

“Sebab itu sebelum ini saya minta dilakukan awal jika ada undian semula, tapi apa boleh buat dan kami terpaksa terima.

“Memang di atas kertas Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan, tapi kami akan cuba yang terbaik. Ini satu cabaran besar buat semua pemain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Undian tambahan membabitkan UAE dan Palestin terpaksa dilakukan, hari ini selepas nama mereka tercicir dalam undian pertama pada 5 Julai lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan betapa tidak mustahil untuk anak buah Kim Swee melakar kejutan walaupun berdepan laluan penuh berliku.

“Kita terpaksa terima dan anggap ini satu peluang dapat beraksi dengan pasukan terbaik. Sudah tentu kita nak dedahkan pemain dengan pasukan terbaik, barulah kita jadi pasukan lebih baik pada masa akan datang.

“Ketika pergi ke China (Kejohanan AFC) pun, kita pasukan yang tak diberi harapan, tapi akhirnya kita berjaya masuk ke suku akhir sebelum kalah kepada Korea Selatan, itu pun kalah tipis.

“Semangat dari China perlu dibawa oleh pasukan ini untuk menunjukkan yang kita bukan pasukan belasahan dan tidak mustahil untuk kita melakar kejutan di Sukan Asia nanti,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 7:55 PM