CONTE berang dengan tindakan yang diambil Chelsea. -Foto AFP
CONTE berang dengan tindakan yang diambil Chelsea. -Foto AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chelsea atas kerosakan terhadap kariernya selain kehilangan pendapatan susulan pemecatannya oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu, menurut laporan hari ini.

Conte dipercayai berang apabila The Blues membenarkannya kembali untuk mengharungi latihan pra musim sebelum memecatnya minggu lalu bagi memberi laluan kepada pengurus baharu, Maurizio Sarri.

Pengendali dari Itali itu, yang menghabiskan tempoh selama dua tahun di Stamford Bridge dipalit spekulasi akan dipecat pada musim lalu, selepas hubungannya dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich dan pengurusan tertingginya renggang.

Tetapi Conte terpaksa menunggu selama 55 hari selepas Chelsea menjuarai Piala FA dengan menewaskan Manchester United sebelum dipecat.

Selepas menjulang trofi liga pada musim pertamanya di Chelsea, Conte boleh dianggap tersungkur pada musim ini apabila skuad kendaliannya menamatkan saingan di tangga kelima sekali gus terlepas aksi di Liga Juara-Juara.

Conte dipercayai menerima 9 juta pound (RM47.68 juta) sebagai bayaran bagi baki kontraknya tetapi akhbar The Times melaporkan bekas pengurus Juventus itu mahu mendapatkan pampasan tambahan.

Ia mungkin mencetus perbalahan membabitkan undang-undang dengan peguam Conte dilaporkan bersedia untuk menuntut kos kerosakan karier pelanggannya selain jawatan di peringkat tertinggi Eropah yang dilepaskannya.

Real Madrid dipercayai berminat mendapatkan khidmat Conte selepas Zinedine Zidane meninggalkan kelab itu pada Mei lalu dengan tugasan sebagai jurulatih kebangsaan Itali ketika itu turut kosong.

The Times turut melaporkan Chelsea sudah mengancam menangguhkan penyelesaian bagi kontrak Conte berikutan kritikan berterusan terhadap bekas majikannya itu atas kegagalan mereka memenuhi tuntutannya ketika jendela perpindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 7:55 PM