PENYOKONG Perancis meraikan kejayaan mara final Piala Dunia. FOTO/AFP
PENYOKONG Perancis meraikan kejayaan mara final Piala Dunia. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kejayaan Perancis mara ke final Piala Dunia mendominasi tajuk utama media di negara itu dengan kebanyakannya meramalkan Les Blues akan menjadi juara dunia buat kali kedua tanpa mengira siapa pencabarnya di pentas akhir.

“Impian Biru Berterusan”, lapor Le Figaro selepas penyokong menyambut keraian di sekitar jalan raya di bandar raya itu susulan kemenangan 1-0 ke atas Belgium yang disaksikan 19 juta penonton menurut penyiar Perancis, TF1.

“Didier Deschamps berada di laluan tepat untuk menyertai legenda Brazil, Mario Zagalle dan legenda Jerman, Franz Beckenbauer yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih,” kata akhbar terbabit.

‘Les Bleus menarik ekor ‘syaitan’ dengan penuh bergaya,” kata Le Parisien yang yakin pasukan itu kini ‘sudah berada di pintu syurga.’

“Sesiapa yang bertemu mereka sama ada England atau Croatia, ‘mereka akan menjadi pilihan untuk gelaran muktamad,” kata akhbar terbabit yang turut melabel pasukan Perancis sebagai ‘Yang Menakjubkan’.

Akhbar sukan harian, L’Equipe pula menyanjung ‘penguasaan bola dan strategi yang menakjubkan’ sambil yakin mereka mampu untuk menambah ‘bintang’.

“Bintang kedua yang akan membawa mereka ke galaksi yang berbeza untuk menyertai juara dunia lain seperti Itali, Uruguay, Brazil, Jerman dan juga Argentina,” kata akhbar itu.

Akhbar lain turut melontarkan pujian kepada Samuel Umtiti yang berjaya meledak gol kemenangan untuk menyingkirkan Belgium pada aksi, awal pagi tadi.

“Dia cedera, mendapat rawatan setiap hari sejak tiba di Russia dan akhirnya dia yang membuka pintu untuk ke final,” lapor Liberation.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut menyaksikan perlawanan itu merancang untuk kembali ke Russia bersama isterinya, Brigitte untuk aksi final.

“Kita memasuki final. Jumpa Ahad ini untuk membawa Piala Dunia pulang,” katanya menerusi akaun Twitter.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 8:54 PM