LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI
Helmi Talkah


SELEPAS merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia kelmarin, Datuk Lee Chong Wei kini mempunyai satu lagi peluang untuk mencipta rekod peribadi apabila memulakan kempen pada saingan Terbuka Indonesia, esok.

Jika berjaya muncul juara pada edisi kali ini, ia akan menjadi gelaran ketujuh buat Chong Wei sekali gus membolehkan dia menjadi pemain paling banyak merekodkan kejuaraan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982.

Pemain berusia 36 tahun itu yang muncul juara pada edisi 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016 adalah pemain ketiga dan pertama bukan dari Indonesia yang meraih enam gelaran, berkongsi kedudukan bersama dua pemain Indonesia Ardy Wiranata (1990, 1991, 1992, 1994, 1995, 1997) dan Taufik Hidayat (1999, 2000, 2002, 2003, 2004, 2006).

Bagaimanapun, Chong Wei enggan meletakkan harapan tinggi sebaliknya akan memberikan aksi terbaik apabila menyifatkan kejohanan berkenaan adalah salah satu persiapan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di Nanjing, China bulan depan dan Sukan Asia di Jakarta, Ogos depan.

“Terlalu banyak rekod yang perlu dipecahkan tahun ini,” kata Chong Wei berseloroh ketika ditanya sama ada dia yakin mampu merangkul gelaran ketujuh di Terbuka Indonesia.

“Saya tidak boleh janji saya boleh jadi juara atau boleh pecah rekod lagi. Ini kerana, saya bukan berusia 26 tetapi saya sudah 36 tahun.

“Jadi, saya mahu bermain seperti biasa dan memberikan yang terbaik. Apa yang paling penting saya mahu menikmati setiap perlawanan tanpa sebarang tekanan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.”

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali akan membuka tirai saingan menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada aksi pusingan pertama, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:33 PM