MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mampu beri kesan positif buat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). FOTO Bernama
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mampu beri kesan positif buat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). FOTO Bernama
Mohd Fitrie Muhamad


PENYOKONG Kedah berharap perlantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar Kedah mampu memberi kesan positif buat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi mengembalikan kecemerlangan skuad Helang Merah.

Namun pada masa sama penyandang jawatan Menteri Besar pasti turut akan diangkat selaku presiden KFA dan untuk itu, tidak ada harapan lain ditagih oleh penyokong kecuali membina semula badan induk bola sepak Kedah seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), Wan Syazwan Wan Fadzelah berkata perlantikan itu diharap dapat memberi sinar baharu kepada bola sepak Kedah.

"Pertama sekali, kami ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Ini yang penyokong harapkan selama ini.

"Tidak ada perkara lain yang diharapkan oleh penyokong kecuali mahu lihat pengurusan yang lebih baik berbanding 'pasukan' lama.

"Jadi dengan perkembangan baharu ini, kami harap Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat kembalikan semula status Kedah sebagai pasukan pencabar.

"Hanya yang terbaik mampu diharapkan untuk pasukan Kedah. Jadi kami harap Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat 'cuci' semula barisan pengurusan sekali gus kembalikan semula reputasi baik pasukan Kedah," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 di Istana Anak Bukit, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu mengangkat sumpah taat setia jawatan berkenaan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum menandatangani watikah pelantikan.

Ini kali kedua Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah dengan yang pertama ketika bersama Barisan Nasional (BN) selepas parti itu merampas penguasaan negeri daripada PAS melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Apache Kedah Brigade (AKB), Mohd Syakrunaim Ismail berkata ia seakan sinar baharu bagi bola sepak Kedah.

"Dengan perlantikan ini, ia pastinya memberi sinar baharu buat skuad Helang Merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:00 PM