HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Syafiq Aznan


CALON tunggal Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setakat ini, Datuk Hamidin Mohd Amin seharusnya boleh bertenang apabila dijangka tidak berdepan sebarang tentangan untuk menerajui badan induk itu.

Menurut bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Hamidin yang juga Setiausaha Agung dilihat tidak akan dicabar selepas mengambil kira faktor situasi politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Jelasnya, situasi politik ketika ini khasnya ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berkemungkinan menjadi faktor terbesar calon lain perlu berhati-hati untuk menerima pencalonan bertanding merebut ‘kerusi panas’ FAM itu.

“Kalau kita lihat, kebanyakan calon sebelum ini terbabit dengan politik namun harus diingat, sudah pasti ketika ini mereka mempunyai tugas lebih penting yang perlu diuruskan membabitkan kerjaya politik mereka.

“Sebenarnya saya berasakan ada beberapa ‘orang kuat’ di persatuan bola sepak negeri berhasrat untuk turut sama merebut jawatan itu namun disebabkan situasi politik ketika ini menyebabkan mereka tidak mahu bertanding.

“Lagi pun, restu Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah cukup untuk menjadi petunjuk hanya Hamidin seharusnya menjadi presiden. Jadi saya jangka Hamidin tidak akan dicabar sekali gus menang tanpa bertanding,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, menerusi mesyuarat khas pertama Exco FAM bagi penggal 2017-2021, Hamidin dicalonkan sebagai presiden baharu susulan peletakan jawatan penyandangnya, Tunku Ismail pada 25 Mac lalu.

Hamidin yang menyandang jawatan tugas Setiausaha Agung sejak 2013 di bawah teraju tiga presiden mengesahkan bersedia untuk merebut jawatan nombor satu itu selepas mendapat sokongan penuh Exco FAM.

Beliau dilihat berpeluang cerah mencipta sejarah muncul individu pertama bukan golongan kerabat diraja atau ahli politik menerajui FAM jika dipilih sebagai pengganti Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 7:17 PM