PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa melepaskan penyerang veteran Kelantan, Mohd Norfarhan (kiri) dalam rombakan terbaharu skuad TRW. - Foto Osman Adnan
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa melepaskan penyerang veteran Kelantan, Mohd Norfarhan (kiri) dalam rombakan terbaharu skuad TRW. - Foto Osman Adnan
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Penyerang veteran Kelantan, Norfarhan Muhamad dilepaskan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam rombakan terbaharu bagi memperkukuhkan pasukan berkenaan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata penyerang berusia 34 tahun itu dilepaskan secara persetujuan bersama dan dijangka beraksi dengan pasukan baru dalam saingan Liga Super selepas ini.

Katanya, selain Norfarhan, empat lagi pemain pasukan itu bakal turut dilepaskan susulan perbincangan lanjut dengan pengendali baharu The Red Warriors (TRW), Fajer Ebrahim, sebelum ini.

"Ya, Norfarhan sudah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama pasukan baharu. Dan ada empat lagi pemain yang juga dalam perancangan kita untuk dilepaskan ke pasukan lain.

"Setakat ini, kita sedang mencari pasukan baru untuk empat pemain ini sebelum dilepaskan. Kita rasa perkara ini perlu dilakukan demi masa depan mereka.

"Tindakan menggugurkan beberapa pemain ini adalah langkah merombak semula pasukan selepas kita ambil kira apa yang diperlukan dan apa yang tidak diperlukan Fajer," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, badan induk itu menamatkan kontrak lima pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Mereka adalah pemain import Indonesia, Ferdinand Sinaga; bekas pemain PKNP, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman dan pemain berketurunan Siam-Kedah, Hattaphon Bun An.

Ditanya sama ada keputusan ini mungkin memberi sedikit tekanan kepada skuad TRW dalam saingan Liga Super, Bibi Ramjani berkata, pihaknya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan demi memastikan pasukan itu terus bersaing.

"Memang sepatutnya kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya tetapi rombakan ini juga sebahagian usaha untuk mengembalikan semula kekuatan pasukan.

"Sekarang ini, kita sudah mempunyai seorang jurulatih yang tegas untuk membawa pasukan ini ke tahap lebih baik. Pastinya setiap jurulatih mahu pemain yang benar-benar boleh menyumbang kepada pasukan.

"Jadi, mahu atau tidak kita perlu lakukan demi pasukan. Oleh itu saya berharap agar semua penyokong TW memberi ruang dan terus memberi sokongan kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 10:16 PM