WINDSOR akui AFC tidak mampu campur tangan isu ejen di Malaysia. -Foto fail
WINDSOR akui AFC tidak mampu campur tangan isu ejen di Malaysia. -Foto fail
Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan

TIADA kawalan daripada segi penetapan harga dilihat menjadi punca yuran pendaftaran untuk ejen (perantara) pemain di negara ini mencecah puluhan ribu ringgit.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat ‘yuran sesuka hati’ yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendaftar menjadi ejen di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John, berkata badan induk itu tidak boleh masuk campur dalam urusan domestik memandangkan peraturan membabitkan perantara adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Berhubung isu ejen pemain, ia di bawah bidang kuasa FIFA. Mengenai bayaran pendaftaran untuk ejen yang dilaporkan begitu tinggi, sebenarnya itu terpulang kepada FAM untuk meletakkan berapa sahaja nilai yang dirasakan berpatutan.

“Itu adalah keputusan FAM dan AFC tidak boleh masuk campur tangan dengan urusan domestik. Sama ada FAM perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan semua ejen melakukan pendaftaran, itu perlu diuruskan oleh mereka sendiri.

“Malah, untuk AFC mengambil apa-apa tindakan termasuk mengenakan hukuman ke atas ejen yang tidak berdaftar juga agak sukar dilaksanakan kerana bidang kuasa itu terletak di bawah FIFA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan bayaran pendaftaran RM47,700 setahun yang dikenakan FAM untuk mendapatkan lesen sah sebagai ejen pemain di negara ini menjadi faktor utama mereka enggan mendaftarkan diri dengan badan induk itu.

Pengakuan itu didedahkan seorang ejen yang enggan namanya didedahkan dengan mendakwa jumlah bayaran yang dikenakan itu untuk mendaftarkan diri dalam Sistem Perantara FAM bagi mendapatkan lesen yang sah, antara yang tertinggi di dunia.

Situasi itu sekali gus menyebabkan berlakunya lambakan ejen haram yang ‘berkeliaran’ dalam kancah bola sepak tempatan selepas FAM mengesahkan hanya empat ejen berdaftar dengan badan induk itu sejak Sistem Perantara diperkenalkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 5:30 PM