TMJ (kiri) banyak tingkatkan mutu Liga M. FOTO/FAIL
TMJ (kiri) banyak tingkatkan mutu Liga M. FOTO/FAIL
Aziman Rosdi


MESKIPUN Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dipalit kontroversi terbaharu membabitkan hukuman kepada 10 pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikatakan tetap akan menjadi calon pilihan menerajui badan pentadbir Liga-M itu dalam pemilihan di kongres tahunan 25 Mac depan.

FMLLP merancang menggubal perlembagaannya pada kongres tahunan itu dan jika cadangan itu diluluskan semua 24 pihak berkepentingan (stake holder), ia sekali gus akan menyaksikan wujud pencalonan jawatan pengerusi FMLLP yang kini disandang Tunku Ismail.

Ketika ini, jawatan pengerusi FMLLP akan diisi secara automatik Presiden FAM iaitu Tunku Ismail dan penggubalan perlembagaan itu adalah antara usaha untuk memisahkan dua organisasi berkenaan.

Bagaimanapun dengan pembaharuan yang sudah dan sedang dilakukan Tunku Ismail serta pengaruhnya dalam meyakinkan pihak penaja, adakah ada calon lain untuk merebut kerusi itu?

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam sendiri mengakui sukar untuk menidakkan bahawa Tunku Mahkota Johor itu (TMJ) tetap calon pilihan menerajui FMLLP.

“Pencalonan terbuka untuk sesiapa saja yang difikirkan layak oleh wakil 24 pasukan itu nanti, tapi saya fikir Tunku Ismail masih lagi calon pilihan walaupun idea pemisahan ini adalah cetusan beliau sendiri sebaik menjadi Presiden FAM lagi.

“Susah juga kalau individu lain kerana penaja lebih percayakan Tunku Ismail malah saya yakin semua pasukan juga masih mahukan beliau. Lihat saja pembaharuan yang dilakukan sekarang, dana tahunan juga meningkat, beberapa rancangan untuk meningkatkan tahap liga kita dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak luar termasuk La Liga,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ini, segelintir pihak menganggap adalah tidak wajar untuk Tunku Ismail memegang jawatan utama dalam FMLLP memandangkan beliau juga Presiden FAM dan juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kevin bagaimanapun menjelaskan bahawa Tunku Ismail boleh menolak pencalonan itu jika tidak bersetuju.

“Kita mahu 24 pasukan dalam FMLLP mengundi dan memilih pengerusi sendiri dan Tunku Ismail boleh menolak pencalonan itu jika tidak bersetuju. Apa pun kita mahu pemilihan pengerusi berdasarkan suara majoriti,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 6:21 PM