KOSCIELNY (kiri) mahu rakan sepasukan bersatu bangkit. FOTO/AFP
KOSCIELNY (kiri) mahu rakan sepasukan bersatu bangkit. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny mengakui sukar untuk pasukannya layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas tewas pada saingan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton.

Pengurus The Gunners, Arsene Wenger menyatakan selepas kekalahan 3-0 berturut-turut kepada Manchester City termasuk aksi final Piala Liga, tahap keyakinan pemainnya kini di tahap terendah dan skuad kendalian Chris Hughton benar-benar memanfaatkannya semalam.

Lewis Dunk dan Glenn Murray memanfaatkan kerapuhan pertahanan The Gunners untuk meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 sebelum Pierre-Emerick Aubameyang meyumbat gol saguhati.

Majoriti penyokong Arsenal yang bertandang ke stadium lawan meminta untuk Wenger dipecat tetapi Koscielny berharap untuk semua bersatu di kala tempoh sukar ini.

“Kita perlu bersatu, dan berjuang bersama-sama,” katanya. “Ia adalah tempoh yang sukar untuk kami. Kami tahu ia sukar tetapi kami perlu terus berusaha keras setiap hari.

“Kami perlu menang untuk berasa lebih tenang di atas padang dan kami perlu bersatu kerana ia tempoh yang sukar untuk pemain, kakitangan dan penyokong.”

Arsenal hanya menang tiga perlawanan di gelanggang lawan sepanjang musim ini dan kini sudah tewas dalam lapan daripada 13 aksi terakhir.

Keputusan buruk itu menyaksikan mereka kini ketinggalan 13 mata di belakang pasukan tangga keempat Tottenham Hotspur dan Koscielny terpaksa akur betapa sukar untuk mereka mengejar kedudukan terbabit.

“Ia amat sukar untuk kami menamatkan saingan dalam kedudukan empat terbaik,” kata Koscielny.

“Kami melalui tempoh yang buruk dan tidak mendapat keputusan yang diinginkan. Kami kehilangan keyakinan dan di dalam padang kami tidak mempunyai keyakinan untuk melonjak semangat pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:06 AM