AKSI ketika Pahang menentang Selangor. FOTO/PAHANG FA
AKSI ketika Pahang menentang Selangor. FOTO/PAHANG FA
Syafiq Aznan


KONTROVERSI mengenai keputusan sepakan penalti menyaksikan pengadil serta pembantunya yang mengendalikan perlawanan Liga Super, membabitkan Selangor dan Pahang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lalu, berdepan penggantungan dua minggu.

Perkembangan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh pada sidang media hari ini dan menegaskan, tindakan itu diambil selepas mereka mendapati kedua-dua pegawai perlawanan itu gagal memberikan keputusan seperti yang dijangkakan.

Jelas Subkhiddin, keputusan yang dijangkakan adalah sepakan percuma di luar kotak penalti, namun dua pegawai terbabit didapati menggunakan informasi yang salah apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.

“Jawatankuasa penilai pengadil menghantar laporan mengenai isu terbabit dan turut menghantar klip video mengenai insiden itu selepas tamat perlawanan. Jadi, kita terus melaksanakan tindakan segera meskipun tidak menerima sebarang laporan dari pasukan Selangor.

“Bukan itu sahaja, kita turut melihat keseluruhan prestasi mereka sepanjang 90 minit perlawanan dan kita mendapati mereka tidak bersedia dari sudut fizikal. Mereka tidak begitu cergas untuk berada di tempat yang sepatutnya.

“Selain itu, kemampuan dua pegawai perlawanan itu untuk membaca perlawanan (keseluruhan) juga agak rendah. Jadi, kami kecewa mengenai perkara ini dan sebab itulah kita mengambil tindakan untuk menggantung mereka,” katanya.

Kontroversi tercetus pada aksi keempat Liga Super itu apabila skuad Tok Gajah dihadiahkan sepakan penalti, apabila bola terkena tangan pertahanan The Red Giants, Willian Pacheco meskipun kesalahan itu dilakukan di luar kotak penalti.

Sepakan penalti itu mudah disempurnakan Francis Forkey Doe untuk menjadikan kedudukan 3-1, sekaligus dilihat menjadi punca anak buah P Maniam gagal untuk bangkit pada perlawanan terbabit.

Selain dua pegawai perlawanan pada aksi itu, Subkhiddin turut mengumumkan pengadil bagi aksi Liga Perdana membabitkan aksi Kuantan FA dan MIFA digantung dua minggu, sementara pengadil bagi perlawanan antara Negeri Sembilan bertemu Terengganu FC diberi amaran pertama.

“Ketika mereka berdepan penggantungan, mereka bukan sekadar goyang kaki kerana mereka perlu meneruskan latihan di peringkat lebih bawah di negeri masing-masing. Mereka akan mengadili aksi tempatan supaya dapat menambahbaik mutu pengadil mereka.

“Kita akan menghantar pegawai pembangunan pengadil bagi memastikan mereka menepati kehendak yang dimahukan. Dalam tempoh dua minggu penggantungan itu, kita akan menilai sama ada mereka mampu untuk kembali melaksanakan tugas bagi perlawanan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 6:20 PM