REAKSI Mane (kiri) selepas menjaringkan gol ketika menentang West Ham. -  FOTO AFP
REAKSI Mane (kiri) selepas menjaringkan gol ketika menentang West Ham. - FOTO AFP
AFP

SADIO Mane berkata Liverpool ‘boleh mengalahkan mana-mana pasukan di dunia’ ketika kelab kendalian Jurgen Klopp itu sedang memburu tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool ketika ini menghuni tangga ketiga liga, ketinggalan dua mata di belakang Manchester United selepas mencatat hanya satu kekalahan daripada 19 perlawanan EPL.

The Reds juga boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Porto pada aksi pertama peringkat 16 terbaik.

Skuad bimbingan jurulatih dari Jerman itu sudah meledak 103 gol dalam semua kejohanan musim ini dengan jentera serangan yang diketuai Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino bagi merobek gawang pihak lawan.

“Saya dapat merasakan yang kelab ini bergerak ke arah yang betul,” kata Mane. “Ada beberapa tahun yang sukar di Liverpool sebelum ini tetapi perkara seperti itu berlaku kepada setiap kelab di dunia.

“Ketika ini, kami di landasan yang baik jadi segala-galanya tidak mustahil. Saya fikir kami sudah banyak meningkat sejak beberapa bulan lalu.

“Kami tahu apabila kami berada di prestasi terbaik kami boleh menewaskan mana-mana pasukan di dunia.”

Penyerang Senegal itu berkata semangat berpasukan di Anfield juga bagus dan keyakinan pemain ketika ini sedang tinggi.

“Setiap pemain sentiasa gembira untuk berakis di dalam pasukan. Kami sentiasa cuba untuk membantu satu sama lain dan kami bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya fikir ia adalah kekuatan dan juga tujuan utama kelab ini. Setiap pemain perlu gembira untuk beraksi dengan pasukan ini,” kata Mane yang percaya kehadiran pemain termahal kelab, Virgil van Dijk sudah menampakkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 10:00 AM