KUMAR mempunyai peluang buat rayuan.
KUMAR mempunyai peluang buat rayuan.
Jumiati Rosly

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) berharap tarikh pendengaran kes doping penjaga gol negara, S Kumar tidak ditangguhkan lagi dan diketahui hujung bulan ini.

“Perkara ini kini di luar kawalan kami kerana MHC sudah menjalankan peranan kami dan meminta Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mempercepatkan tarikh pendengaran. Mereka (FIH) meminta tambahan 21 hari dan meminta afidavit yang mana peguam kami sudah menghantar afidavit kenyataan rasmi daripada Kumar dan juga semua pihak terbabit.

“Kami sudah menghantar kepada mereka afidavit itu dan berharap kami akan ketahui (tarikh pendengaran) hujung bulan ini,” kata Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Disember lalu, MHC mengumumkan Kumar didapati positif sibutramine ketika Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Subahan berkata, beliau mengharapkan reputasi Kumar sebagai pemain senior akan diambil kira dalam membuat keputusan terhadap status penjaga gol itu.

“Kami rasakan bila tarikh (pendengaran) sudah diberikan, maka Kumar mempunyai peluang membuat rayuan dan mempertahankan dirinya tidak bersalah. Kami berharap Kumar diberi peluang atau diberikan amaran saja kerana dia sudah banyak kali menjalani ujian doping, sudah lebih kurang 10 kali.

“Dia seorang pemain senior dan reputasinya sudah menggambarkan dirinya. Selama ini dia seorang pemain yang baik tapi apakan daya benda itu sudah berlaku,” katanya.

Beliau berkata, jika tarikh pendengaran kes ditangguhkan lagi ke bulan Mac, ia mungkin mendatangkan masalah buat skuad hoki negara.

“Apa pun kami ada pelan kecemasan yang mana kami ada dua pemain yang bagus dan sepatutnya boleh mengisi tempat Kumar dan itu bukannya isu. Namun jika Kumar ada lebih baik dan kami mahukan dia kerana dia bagus,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 5:57 PM